Tiada maaf untuk Messi, Aguero

Tiada maaf untuk Messi, Aguero

SANTIAGO, Chile, 14 Jun (Agensi) – Jurulatih Argentina, Gerardo Martino menegaskan, dua pemain generasi baharu, Lionel Messi dan Sergio Aguero tidak akan dimaafkan sekiranya mereka gagal membantu skuad gergasi Amerika Latin itu menjuarai Copa America 2015.

Skuad utama Argentina dilihat sedang meniti zaman kegemilangan apabila penyerang Barcelona, Messi serta tonggak serangan Manchester City, Aguero beraksi bersama pemain-pemain terbaik yang lahir di negara itu.

Meskipun Argentina dibarisi pemain-pemain hebat dunia, pasukan itu belum pernah menjulang trofi Copa America selepas kali terakhir menjuarai kempen itu pada 2003 serta gagal meraih kejuaraan Piala Dunia 2014 di Brazil tahun lalu.

“Ia akan menjadi satu perkara tidak boleh dimaafkan jika generasi pemain ini tidak mampu membantu Argentina memenangi sebarang piala,” ujar Martino menjelang aksi pertama Kumpulan B menentang Paraguay.

Selain Messi dan Aguero, Argentina dibarisi beberapa pemain bertaraf bintang yang lain termasuk penyerang Juventus, Carlos Tevez dan tonggak serangan Napoli, Gonzalo Higuain serta pemain Manchester United, Angel di Maria.

Selain hebat di posisi serangan, Argentina turut memiliki kelebihan di bahagian pertahanan menerusi Pablo Zabaleta, Javier Mascherano dan Nicolas Otamnedi.

Sehubungan itu, Argentina diangkat sebagai pasukan pilihan utama untuk menjuarai kempen Copa America edisi kali ini. Bagaimanapun, kekuatan yang tercatat di atas kertas itu sedang menghantui pasukan itu kerana masih gagal memenangi sebarang trofi antarabangsa dalam tempoh 22 tahun.

Martino menegaskan, beliau kini telah bersedia untuk menamatkan penantian tersebut dengan misi menjuarai kempen Copa America yang diadakan di Chile pada kali ini.

“Kami kini dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk kembali memberi kejutan dalam kejohanan ini. Jika gagal, tiada maaf untuk mereka (pemain bertaraf bintang),” tambah Martino.