Tiada ‘orang luar’ dalam demokrasi negara – Najib

Tiada ‘orang luar’ dalam demokrasi negara – Najib

BANGKOK, 9 Sept – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberikan peringatan tegas kepada ‘orang luar’ dan sekutu politik mereka di Malaysia supaya tidak campur tangan dalam proses demokrasi negara.

Menyuarakan pandangannya yang lantang dalam ruangan akhbar utama bahasa Inggeris Thailand, Bangkok Post, bertajuk ‘Building on Thai-Malaysian links’ (membina hubungan Thai-Malaysia) beliau menekankan kepada hakikat bahawa kerajaan Malaysia adalah pilihan rakyat.

“Rakyat Thailand baru-baru ini mengundi bagi satu perlembagaan baharu. Itu Hak mereka, dan orang luar tidak harus mengatakan sebaliknya.”

“Begitu juga dengan kerajaan Malaysia yang dipilih rakyat dan orang luar Serta sekutu politik mereka di Malaysia tidak boleh cuba menggugat proses demokrasi ini di antara pilihan raya-pilihan raya yang diadakan,” katanya.

Menurut perdana menteri, kedua-dua negara komited untuk bekerjasama Memperbaiki taraf hidup rakyat masing-masing.

Walaupun dikritik oleh beberapa kerajaan asing, Thailand mengadakan referendum mengenai draf penggubalan perlembagaan itu bulan lepas, apabila lebih 61 peratus pengundi memilih untuk bersetuju dengan perlembagaan terbaharu itu.

Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Bangkok malam tadi setelah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang yang berkaitan di Vientiane, Laos.

Perdana menteri mengetuai delegasi tujuh menteri dan pegawai-pegawai kanan menghadiri Perundingan Tahunan Malaysia-Thai keenam hari ini.

Delegasi Thailand akan diketuai Perdana Menteri Gen Prayut Chan-o-cha.

Najib berkata era kuasa lama memaksa negara membangun untuk mengikut telunjuk mereka sudah berakhir.

“Kita bangga dengan sejarah dan budaya kita dan akan mempertahankan nilai-nilai kita terhadap mereka yang cuba memaksa nilai mereka ke atas kita – seperti juga kita mempertahankan kedaulatan negara kita dalam apa jua cara,” kata Najib.

Beliau turut memberi contoh ancaman baharu yang semakin meningkat dan yang tidak pernah berlaku sebelum ini terhadap keamanan dan keselamatan yang dihadapi kerajaan termasuk Malaysia dan Thailand.

Kedua-dua negara jiran, katanya, tidak terkecuali daripada menghadapi ancaman dengan Thailand digegarkan tindakan pengeboman bulan lepas sementara Malaysia menghadapi serangan pertama yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Daesh pada Jun.

Beliau berkata kerajaan kedua-dua negara memahami bukan sahaja terhadap keperluan untuk bekerjasama tetapi juga perlunya bagi kerajaan mengambil tindakan tegas dalam menangani ancaman-ancaman ini. – Bernama