Tiada pelancong dianiaya

Tiada pelancong dianiaya

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Pasukan Polis Diraja Brunei mengesahkan bahawa tiada sebarang laporan yang direkodkan berhubung cerita yang menjadi viral di laman-laman sosial media bertajuk ‘Dugaan Ramadan, Dua Back Packers Rakyat Malaysia Dianiaya di Brunei’ yang dimuat turun oleh blogmazeer.com.

Menurut cerita berkenaan, dua orang pelancong yang berada di negara ini pada 8 Jun lalu mendakwa mereka ditawarkan penginapan pada kadar yang murah oleh seorang warga tempatan Negara Brunei Darussalam yang mendakwa dirinya bekerja sebagai pemandu pelancong.

Oleh sebab pemandu pelancong tersebut mengekori mereka sambil menawarkan tempat penginapan yang lebih murah, kedua-dua pelancong tersebut bersetuju untuk menerima perkhidmatan yang telah pun menimbulkan keraguan kepada kedua-dua pelancong tersebut.

Setelah mendapatkan tawaran perkhidmatan lawatan ke persekitaran Istana Nurul Iman daripada pemandu pelancong tersebut dan menawarkan untuk membeli makanan untuk bersahur, kedua-dua pelancong menantikan beliau di kediaman yang ditawarkan oleh pemandu pelancong tersebut.

Kedua-duanya kemudian mendakwa pintu rumah tersebut diketuk dan dua lelaki menendang pintu sehingga terbuka, seterusnya bertanya siapa mereka.

Gambar yang dimuat dalam laman media sosial oleh pelancong Back Packers yang mendakwa terpaksa bermalam di Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan.
Gambar yang dimuat dalam laman media sosial oleh pelancong Back Packers yang mendakwa terpaksa bermalam di Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan.

Mereka juga mendakwa menerima cerita bahawa pemandu pelancong itu baru sahaja dibebaskan setelah dua bulan meringkuk di dalam penjara atas kesalahan merogol dan mencuri.

Dua orang lelaki yang menendang pintu tersebut, mendakwa mereka adalah anggota polis yang datang untuk menggeledah rumah itu disebabkan mengesyaki pemandu pelancong itu telah mencuri sebuah kamera dan kunci rumah.

Dalam keadaan yang kecoh, pelancong dari Malaysia tersebut dinasihatkan oleh penduduk kampung supaya segera meninggalkan rumah itu kerana bimbang berlaku perkara buruk.

Dua orang lelaki yang mendakwa diri mereka anggota polis hanya membantu mereka memanggilkan bot untuk menyeberang ke bandar.

ARTIKEL YANG SAMA