Tiada pencemaran pada contoh sotong

Tiada pencemaran pada contoh sotong

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) memaklumkan bahawa tidak ada pencemaran formaldehid, yang digunakan sebagai pengawet, dalam contoh-contoh sotong yang diambil dari Pasar Gadong kelmarin.

Penganalisisan ini dibuat berikutan kenyataan yang disampaikan melalui media sosial kelmarin mengenai sotong yang dibeli oleh pengadu dari pasar berkenaan pada 4 Mac lalu.

Menurut kenyataan KSSUP, setelah menerima maklumat tersebut, Jabatan Perikanan telah pun mengambil contoh-contoh sotong daripada penjual yang dimaksudkan di pasar itu, termasuk dari penjual-penjual lain untuk dianalisis di Makmal Bahagian Keselamatan Agrimakanan bagi kemungkinan terdapat penggunaan formaldehid.

Walaupun tiada pencemaran ditemui, KSSUP berkata mereka akan bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan untuk siasatan lanjut mengenai perkara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, sudah menjadi program Jabatan Perikanan untuk sentiasa melaksanakan pemantauan dan penganalisisan ke atas ikan/udang yang dijual kepada orang ramai sama ada di pasaran, pasar raya dan kolam-kolam ikan/udang tempatan dari segi kandungan formaldehid, logam berat (heavy metals), organisma air kemerah-merahan, antibiotik dan sebagainya yang boleh memudaratkan kesihatan orang ramai.

Jika didapati terdapat kesan-kesan kandungan bahan yang dinyatakan itu, pihak jabatan berkenaan akan merampas dan memusnahkan ikan/udang yang tercemar tersebut.

Adalah menjadi kesalahan di bawah Akta Kesihatan Awam Penggal 182, jika seseorang menyediakan, menjual atau mengimport bahan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan, tidak selamat bagi makanan manusia atau tercemar. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali. Mereka yang sabit kesalahan juga boleh digantung lesen-lesen aktiviti pengilangan, penjualan dan pengedaran.

Jabatan Perikanan juga menyeru orang ramai untuk melaporkan mana-mana ikan/udang yang disyaki tercemar dengan memaklumkan tempat membeli dan seterusnya mengambil contoh ikan/udang yang diragui dan menghubungi talian-talian 2770066 (waktu bekerja) atau 7297771 (Hotline Jabatan Perikanan).

ARTIKEL YANG SAMA