Tiada perbincangan tentang Terusan Kra

BANGKOK, 11 Okt – Kerajaan Thailand tidak mengadakan perbincangan mengenai Terusan Kra walaupun terdapat lobi daripada pihak berpengaruh di Thailand termasuk jeneral dan ali perniagaan yang mahukan projek multi bilion itu diteruskan.

Menteri Pengangkutan Arkom Termpittayapaisith berkata terusan itu atau dikenali sebagai Terusan Thai bukan merupakan isu ketika ini.

“Kami tidak membincang isu ini. Tiada isunya di atas meja. Setakat ini kami tidak membincangkannya,” katanya kepada Bernama ketika ditemu ramah.

Isu pembinaan terusan itu turut mendapat perhatian di Malaysia yang sesetengah pihak mempersoalkan kesannya kepada ekonomi negara kelak.

Ia turut mendapat perhatian selaras dengan inisiatif ‘Satu Jalur, Satu Laluan’ yang dikemukakan China bagi menghidupkan semula laluan perdagangan lama untuk menghubungkan Asia, Eropah dan Afrika.

Arkom berkata perbincangan mengenainya ketika ini lebih didominasi oleh pihak swasta dan bukan kerajaan.

Bulan lalu persidangan antarabangsa mengenai Terusan Kra diadakan di sini yang dianjurkan pertubuhan berpengaruh Persatuan Terusan Thai bagi Kajian dan Pembangunan (TCA) yang dihadiri pakar dari seluruh dunia.

Dalam ucaptamanya, Presiden TCA, Jen Pongthep Tesprateep meminta agar kerajaan Thailand untuk melengkapkan kajian kemungkinan mengenai terusan tersebut.

Pakar China yang turut menyertai persidangan mahukan kerajaan Thai agar segera membuat keputusan dan memulakan kajian kemungkinan.

TCA turut mengumpul 200,000 tandatangan daripada rakyat, ahli akademik dan persatuan lain yang mahukan pembinaan terusan itu dilaksanakan.

Menurut pakar, dengan adanya terusan sepanjang 130 kilometer itu di Genting Kra, di selatan Thai, ia akan menghubungkan lautan Hindi dan Pasifik dengan memendekkan tiga hari perjalanan tanpa perlu lagi melalui Selat Melaka yang semakin sesak.

Mengenai cadangan untuk menghubungkan Kuala Lumpur dan Bangkok menerusi sistem Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Arkom berkata telah wujud perbincangan antara kerajaan Thai dan Malaysia, namun ia belum sampai ke peringkat dialog.

“Hanya perbincangan, belum memulakan dialog,” katanya dan menambah pada masa ini terdapat rancangan untuk memanjangkan trek rel elektrik daripada Padang Besar di Perlis hingga Hatyai.

Laluan rel Bangkok-Kuala Lumpur sejauh 1,500 kilometer itu boleh memendekkan perjalanan antara kedua-dua ibu negara kepada hanya enam jam perjalanan.

Rundingan Tahunan antara kedua-dua kerajaan di Bangkok pada September tahun lalu bersetuju untuk mengkaji kemungkinan menghubungkan Bangkok-Kuala Lumpur menerusi sistem HSR. – Bernama