Tiada petunjuk baharu dalam siasatan kes tembak

Tiada petunjuk baharu dalam siasatan kes tembak

SIBU, 13 Jan (Bernama) – Polis belum menemui sebarang petunjuk baharu dalam siasatan kes tembak mati seorang lelaki di Jalan Long Bridge di sini Sabtu lepas, yang dikaitkan dengan aktiviti kongsi gelap terutama dadah.

Sehingga kini, dua lelaki yang masih dikenakan tahanan reman belum mendedahkan apa-apa tetapi Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Dev Kumar berkata pihaknya akan membuat siasatan terperinci untuk menyelesaikan kes itu.

“Kami akan siasat daripada pelbagai sudut dan tidak akan menolak sebarang kemungkinan sehingga kes ini diselesaikan,” tegasnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu di sini hari ini.

Ini, katanya termasuk dakwaan yang disebarkan di laman sosial yang mendakwa insiden berkaitan dengan perebutan kawasan dadah.

“Khabar angin tetap khabar angin dan kami tidak boleh menerima begitu sahaja. Apa yang disebarkan di media sosial sering menimbulkan masalah kerana kebanyakannya tidak benar. Namun kami tetap perlu menyiasatnya,” katanya. Dev berkata polis menganggap insiden itu sebagai kes berprofil tinggi tetapi memberi jaminan kepada orang ramai, yang kurang senang dengan keadaan itu, Sibu masih kawasan yang selamat.