‘Tiada petunjuk’ serangan tindakan pengganas

‘Tiada petunjuk’ serangan tindakan pengganas

GENEVA, 14 Ogos – Tidak ada petunjuk bahawa serangan bakar dan tikam ke atas sebuah kereta api Swiss itu satu tindakan pengganas, kata polis hari ini, ketika salah seorang daripada enam orang yang cedera itu meninggal dunia.

“Persoalan mengenai motif masih lagi tidak diketahui,” kata polis dari rantau Saint Gallen timur Switzerland berkata dalam satu kenyataan, menekankan: “Buat masa ini belum ada petunjuk yang ia adalah pengganasan atau tindakan yang bermotifkan politik.”

Sementara tiada motif telah dinyatakan, kenyataan polis telah menenangkan beberapa spekulasi yang disebarkan sejak serangan Sabtu itu, yang disusuli dengan beberapa bulan keganasan, sering berupa serangan maut di Eropah, kebanyakannya didakwa oleh kumpulan Islamic State (IS).

“Pengganasan bukan teori utama kami,” kata jurucakap polis Bruno Metzger memberitahu AFP, menambah bahawa ‘motif lain’ jauh dalam senarai, walaupun dia tidak mengatakan apakah motif berkenaan.

Stesen kereta api tempat seorang lelaki menyerang penumpang lain yang menaiki kereta api di Salez, Switzerland pada 13 Ogos. – AP
Stesen kereta api tempat seorang lelaki menyerang penumpang lain yang menaiki kereta api di Salez, Switzerland pada 13 Ogos. – AP

Ia berlaku sekitar jam 2:20 petang (1220 GMT) pada Sabtu bahawa seorang warga Switzerland berusia 27 tahun menggunakan cecair mudah terbakar untuk mencetuskan kebakaran ke atas sebuah kereta api bergerak di timur Switzerland sebelum menikam penumpang.

Insiden berlaku di landasan antara Buchs dan Sennwald berhampiran stesen Salez, tidak jauh dari sempadan timur Switzerland dengan Liechtenstein dan Austria.

Gambar yang disiarkan oleh media Switzerland hari ini menunjukkan kebakaran di kerusi di hadapan cermin yang bertukar gelap, kerusi dilitupi abu dan bahan-bahan terbakar rentung, sementara platform berlumuran darah.

Polis berkata imej serangan telah diperolehi dari rakaman kamera pengawasan, membolehkan mereka untuk memastikan lelaki itu telah bertindak sendirian, yang membawa sebilah pisau, menumpahkan cecair mudah terbakar dan membakarnya, kata polis. – AFP