Tiada rakyat M’sia terkorban dalam serangan bom Ankara

Tiada rakyat M’sia terkorban dalam serangan bom Ankara

PUTRAJAYA, 18 Feb (Bernama) – Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terkorban dalam insiden serangan bom kereta di Ankara, Turki, pada Rabu, menurut Kementerian Luar hari ini.

Kenyataan Wisma Putra di sini menyebut Kedutaan Malaysia di Ankara berhubung rapat dengan rakyat Malaysia, termasuk pelajar, yang berada di negara berkenaan.

“Kementerian Luar menerusi Kedutaan Malaysia di Ankara akan terus memantau keadaan,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut mengingatkan rakyat Malaysia yang bermastautin dan melawat Turki supaya sentiasa mengutamakan keselamatan diri serta persekitaran mereka.

Mereka juga diminta supaya terus memantau dan mematuhi sebarang nasihat yang dikeluarkan kerajaan Turki.

Wisma Putra berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan bom kereta, yang mengorbankan 28 orang dan mencederakan 61 yang lain, serta merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan Turki, keluarga serta mangsa yang terlibat dalam serangan itu.

“Kerajaan Malaysia menyifatkan serangan itu sebagai tindakan keganasan yang amat kejam dan pelakunya perlu dihadapkan ke muka pengadilan,” menurut kenyataan itu.

ARTIKEL YANG SAMA