Tiada rancangan bagi rundingan baru – Seoul

Tiada rancangan bagi rundingan baru – Seoul

SEOUL, 14 Dis (AFP) – Korea Selatan berkata hari ini ia tidak mempunyai rancangan untuk mencadangkan dialog baru dengan Korea Utara selepas rundingan peringkat tertinggi yang jarang berlaku pada hujung minggu yang berkesudahan tanpa sebarang perjanjian.

Rundingan peringkat timbalan menteri mengenai cara memantapkan hubungan – kali pertama sepanjang tempoh dua tahun – berakhir malam Sabtu lepas selepas rundingan maraton selama dua hari, dengan tiada sebarang perjanjian dimeterai dan komitmen untuk bertemu lagi.

Kedua-dua belah pihak saling mempersalahkan sesama mereka kerana kebuntuan itu, dengan Pyongyang menuduh Seoul enggan untuk membincangkan “isu teras” dan Slatan pula menuduh Utara lebih memberi keutamaan projek ekonomi berbanding isu-isu kemanusiaan.

Ketua delegasi Korea Selatan sebelum ini mencadangkan agar diteruskan rundingan hari ini, tetapi Pyongyang enggan dan Kementerian Penyatuan Seoul berkata hari ini ia tidak akan membaharui lagi jemputan dalam tempoh terdekat ini.

“Buat masa ini, kami tidak memberi apa-apa pertimbangan (cadangan bagi perbincangan lanjut),” jurucakap kementerian Jeong Joon-Hee memberitahu wartawan.

Korea Utara yang berdepan masalah kewangan mahu Selatan meneruskan program kunjungan ke kawasan peranginannya di Gunung Kumgang, yang Seoul gantung pada 2008 selepas seorang pelancong wanita ditembak mati oleh pengawal Korea Utara.

Korea Selatan mahu memberi fokus ke atas penyatuan keluarga secara tetap bagi mereka yang terpisah ketika Perang Korea 1950-53.

Pada akhirnya, isu-isu terbabit gagal diselesaikan kerana kedua-dua belah pihak gagal untuk mencapai persetujuan mengenai cara yang diterima bersama untuk memulakan perbincangan.

ARTIKEL YANG SAMA