Tiada saudara baru diabaikan

Tiada saudara baru diabaikan

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Tiada saudara baru di negara ini diasingkan mahupun diabaikan malah mereka dilayan seperti umat Islam lain di negara ini, cuma terkadang sebilangan saudara baru berkenaan salah faham akan teguran dan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) diamanahkan untuk sedaya upaya memeduli warga ini.

“Semua duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan orang-orang Islam yang asal dan perkara ini tidak menjadi permasalahan di negara ini dan tiada seorang pun saudara baru diabaikan”.

Perkara ini dinyatakan oleh Pemangku Penolong Pengarah, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar ketika ditemu bual semasa beliau membawa rombongan saudara-saudara baru berjunjung ziarah ke Istana Nurul Iman, kelmarin.

Awang Abdul Aziz.
Awang Abdul Aziz.

Bercakap mengenai rombongan berjunjung ziarah itu, yang disertai hampir 500 saudara baru dan petugas-petugas yang diamanahkan dari PDI di keempat-empat daerah menjunjung ziarah dengan diketuai oleh Pengarah PDI, Hajah Siti Azizah binti Haji Musa, beliau berkata ia merupakan antara inisiatif PDI untuk mengeratkan silaturahim bersama saudara-saudara baru.

Menurut beliau, aktiviti tahunan seperti ini adalah antara usaha PDI untuk terus mendidik saudara-saudara baru berterima kasih dan menjunjung kasih kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan atas pemedulian kerajaan Baginda melalui Kementerian Hal Ehwal Ugama yang telah diamanahkan kepada Pusat Dakwah Islamiah.

Dalam pada itu, beliau berkata salah satu perkara positif yang dapat dilihat adalah setiap tahun ahli-ahlinya semakin bertambah, dan ini merupakan satu budaya sihat yang memperlihatkan ketaatan kepada raja yang dijunjung tinggi atau boleh diambil kira sebagai nation building.

“Sifat nasionalisme yang ada dalam jiwa masing-masing perlu disemai walaupun dia seorang mualaf tetapi berhak untuk sama-sama menanai kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia,” tambahnya.

Beliau seterusnya berkata, inisiatif seperti ini adalah antara cara untuk menjadikan saudara-saudara baru memiliki sifat berterima kasih kepada Allah SWT dan kepada pemimpin mereka yang memimpin negara ini menjadi sebuah negara yang aman makmur jika dibandingkan dengan negara-negara lain.

Oleh itu, warga PDI akan sentiasa mendidik saudara-saudara baru agar sama-sama juga mendoakan negara sentiasa dalam keadaan aman damai dan tenteram di samping mendapat keberkatan daripada Allah SWT.

“Jika diberikan kelebihan dan kenikmatan sebagai penghargaan terhadap saudara baru seperti zakat sebagai pemedulian kurnia Kebawah Duli Yang Maha Mulia, mereka mestilah berterima kasih kerana Allah SWT memang sudah mengajar kitani agar sentiasa suka bersyukur, berterima kasih maka Allah akan memberikan lagi nikmat yang berterusan, Insya-Allah,” ujarnya lagi.

Beliau mewakili warga PDI, pengarah, jawatankuasa dan warga yang lain menyatakan komitmen untuk memantapkan ketaatan saudara-saudara baru terhadap negara dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, serta menggalakkan mereka mengikuti aktiviti-aktiviti yang diusahakan oleh PDI.

Manakala itu, beliau juga menyatakan akan berkunjung ke tempat pedalaman untuk sama-sama turun menyaksikan sendiri bagaimana saudara baru di situ menjalani kehidupan mereka sebagai Muslim.

ARTIKEL YANG SAMA