Tiada telur palsu dijual di sini

Tiada telur palsu dijual di sini

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Mei – Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama menafikan khabar angin yang disebarkan melalui media sosial mengenai dengan penjualan telur palsu yang didakwa dijual di salah sebuah pasar raya tempatan adalah tidak benar.

Jabatan berkenaan dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini, menyatakan bahawa Syarikat Hua Ho tidak mengimport telur ayam dari mana-mana sumber luar kerana pengeluaran ladang Hua Ho adalah mencukupi bagi stok penjualan di pasar raya mereka.

Sebagai makluman, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan melalui Bahagian Bio Sekuriti tidak pernah mengimport telur dari China.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi memastikan industri telur khususnya dan industri ternakan pada amnya terjamin keselamatan, mutu dan kesegarannya, Jabatan Pertanian dan Agri-makanan sentiasa memantau sumber, kualiti dan memelihara bio sekuriti produk ternakan bermula daripada pengurusan ladang sehingga penghantaran penjualan ke pasar raya dan kedai-kedai runcit.

Ini menjadi keutamaan bagi meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap mutu produk-produk ternakan tempatan dan yang diimport terjamin selamat.

Orang ramai disarankan untuk mengamalkan cara penyimpanan telur di dalam peti sejuk berjauhan dengan bahan makanan yang sudah bermasak dan di bawah suhu 4 darjah Celsius setiap masa.

Telur mentah dapat bertahan selama tiga minggu jika disimpan dalam keadaan suhu yang sesuai. Jika peti sejuk mempunyai suhu dalaman yang tidak seimbang disarankan untuk menggunakan telur berkenaan tidak kurang daripada dua minggu daripada tarikh pembelian.

ARTIKEL YANG SAMA