Tiada tembakan dan kecederaan di LAX

Tiada tembakan dan kecederaan di LAX

LOS ANGELES, 29 Ogos – Sebahagian daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles telah ditutup lewat semalam selepas kedengaran bunyi kuat seperti tembakan, yang berkemungkinan disebabkan oleh seorang lelaki yang memakai pakaian ‘Zorro’ berwarna hitam yang kemudiannya ditahan oleh polis.

Penumpang yang melarikan diri dalam keadaan panik selepas mendengar bunyi tersebut kemudiannya diarahkan kembali ke lapangan terbang itu, selepas ruang ketibaan dan pusat terminal itu dibuka berikutan dengan siasatan polis sedang dijalankan berkaitan dengan insiden itu.

“Laporan mengenai bunyi tembakan itu sangat kuat,” kata ketua jurucakap Jabatan Polis Los Angeles, Andy Neiman di Twitter.

“Tiada tembakan dan tiada kecederaan selepas siasatan itu dijalankan,” katanya.

Walau bagaimanapun seorang individu “dalam pakaian Zorro telah ditahan” oleh polis lapangan terbang, pihak berkuasa lapangan terbang menulis di Twitter. Motif sebenar individu tersebut tidak diketahui.

Lapangan Terbang Los Angeles, yang dikenali sebagai LAX, merupakan lapangan terbang paling sibuk yang ketujuh seluruh dunia dari segi trafik. Los Angeles itu sendiri adalah bandar kedua paling ramai di Amerika Syarikat.

Berikutan laporan penembak yang aktif, penumpang “dalam beberapa terminal LAX dipindahkan ke landasan dan bergegas melalui pemeriksaan keselamatan persekutuan tanpa diperiksa dengan betul,” kata pengarah perhubungan awam lapangan terbang Nancy Suey Castles.

Ramai penumpang bagaimanapun telah “diperiksa dan diimbas semula oleh pengesanan unit bahan letupan K-9 ” sebelum dibenarkan masuk ke dalam terminal untuk imbasan semula, katanya, sambil menambah bahawa laporan “penembak yang aktif di LAX adalah tidak berasas.” – AFP