Tiada unsur j...

Tiada unsur jenayah militan dikesan

TAWAU, 19 April – Markas Angkatan Tugas Bersama 2 Tawau (MK ATB 2) tidak mengesan sebarang unsur jenayah militan masuk melalui perairan Pantai Timur, Sabah sejak Januari tahun ini sehingga kini, kata Komandernya, Brigedier Jeneral, Zarondin Md Amin.

Katanya, sepanjang tempoh itu 1,891 individu diperiksa dan daripada jumlah itu 53 orang ditahan iaitu 43 orang di bawah kesalahan Imigresen, enam orang terlibat jenayah komersial dan kastam serta empat orang melanggar perintah berkurung.

“Dalam tempoh itu juga, 487 bot turut diperiksa…keselamatan di perairan tanggungjawab kami dan pada masa ini perairan pantai timur berada dalam keadaan terkawal serta selamat berdasarkan kepada tiada statistik pencerobohan tetapi tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) masih ada,” katanya.

Zarondin bercakap kepada pemberita selepas Majlis Terima Tugas Ketua Staf Markas Angkatan Tugas Bersama 2 di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan perbarisan serah terima tugas Ketua Staf Markas Angkatan Tugas Bersama 2 antara Kolonel Mohd Halimin Pandi dan penggantinya, Kolonel Munraj Jughtar Singh juga dari TUDM di Kem Kukusan ATB 2 Tawau.

Dalam pada itu, Zarondin berkata elemen pengawasan di kawasan perairan negara sentiasa dipertingkat memandangkan situasi di Selatan Filipina yang agak tegang pada masa kini.

“Kami terpaksa bekerja lebih keras menjaga perairan kita daripada dimasuki anasir jenayah dari sana dan juga kini dalam usaha meningkatkan aset dan rondaan udara kerana itu lebih cepat dan pantas di kawasan ini,” katanya.

Mengulas mengenai isu kemasukan PATI yang berlaku di kawasan Pantai Timur, beliau berkata pada masa kini perkara itu masih dapat ditangani dan tidak kritikal berdasarkan tangkapan yang dilakukan.

“Masalah PATi ini mereka mempunyai hubungan keluarga dan menggunakan perairan Sabah bagi tujuan perdagangan tukar menukar barang, itu yang masuk ke sini,” katanya.

Pada masa yang sama, Zarondin berkata pihaknya tidak sesekali akan berkompromi dengan jenayah melibatkan pengganas, penceroboh militan, jenayah dadah dan senjata api.

Penubuhan Markas ATB 2 Tawau di Kem Kukusan adalah untuk memastikan keselamatan dan kedaulatan Pantai Timur Sabah sentiasa terpelihara melalui pelaksanaan OP PASIR.

ATB 2 merupakan Pangkalan Operasi Hadapan yang menyelaras semua penugasan pasukan dari semua cabang perkhidmatan ATM daripada segi atur gerak melalui perintah dan kawalan yang efektif sejak bermulanya pelaksanaan OP PASIR pada tahun 2000. – Bernama