Tiada unsur keganasan dalam kapal muatan baja – Khalid

Tiada unsur keganasan dalam kapal muatan baja – Khalid

PUTRAJAYA, 23 Sept – Tiada elemen yang boleh dikaitkan dengan aktiviti keganasan dalam kes penahanan kapal yang membawa 30 tan baja didakwa dari Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia semalam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata andaian polis Indonesia bahawa bahan kimia itu mungkin digunakan untuk membuat bom adalah tidak munasabah dan mungkin sekadar persepsi sebelum siasatan penuh dilakukan.

“Baja merupakan barangan yang dibawa oleh kapal di seluruh dunia dan ia bukan sesuatu yang abnormal,” katanya kepada media selepas melancarkan karnival 1AmanWeek di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai penahanan kapal itu di pulau peranginan Bali semasa dalam perjalanan ke pulau Sulawesi, timur Indonesia, satu wilayah yang didakwa terkenal dengan keganasan militan.

Khalid berkata kapal yang membawa baja itu tidak mungkin digunakan untuk tujuan lain selain perladangan dan pertanian.

Tan Sri Khalid Abu Bakar bersama kanak-kanak Sekolah Rendah Setiabudi, Gombak memasukkan maklumat ke dalam portal semakan penipuan Love Scam. – Bernama
Tan Sri Khalid Abu Bakar bersama kanak-kanak Sekolah Rendah Setiabudi, Gombak memasukkan maklumat ke dalam portal semakan penipuan Love Scam. – Bernama

“Bagi saya 30 tan baja adalah satu jumlah yang banyak untuk dibawa oleh sebuah kapal seperti itu, apatah lagi jika untuk kegiatan pengganas kerana bagi tujuan berkenaan, cara lain akan digunakan.

“Jadi, janganlah kita pula membuat kesimpulan seolah-olah negara kita merupakan pembekal baja untuk pengganas sebelum siasatan dilakukan,” katanya.

Khalid berkata pihaknya telah menghubungi polis Indonesia bagi mendapatkan maklumat dan gambaran lebih terperinci berhubung kapal, anak kapal dan muatan yang dibawa.

Dalam pada itu, Khalid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersetuju dan sedia menerima seorang tahanan Guatanamo Bay warga Malaysia jika individu berkenaan dipindahkan ke penjara di negara ini. Beliau berkata sebagai pihak bertanggungjawab, PDRM juga bersedia untuk menjaga dan memulihkan tahanan tersebut atas kapasiti sebagai rakyat di negara ini. – Bernama