Tiada wabak MERS-CoV di Brunei

Tiada wabak MERS-CoV di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai bahawa sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Republik Korea pada masa ini sedang mengalami wabak Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) yang telah dikenal pasti berpunca daripada seorang warga Korea yang telah melancong ke Timur Tengah.

Sehingga 10 Jun 2015, sebanyak 108 kes MERS-CoV telah disahkan di negara tersebut di mana sembilan daripadanya telah dilaporkan meninggal dunia, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, hari ini.

Kementerian dalam kenyataannya, turut menyatakan bahawa setakat ini, tidak ada kes jangkitan MERS-CoV telah dikesan di Negara Brunei Darussalam, bagaimanapun pihak kementerian akan terus memantau perkembangan wabak jangkitan penyakit ini dan memaklumkan sebarang perkembangan kepada orang ramai dari masa ke masa, jika diperlukan.

Setakat ini, semua kes MERS-CoV yang telah dilaporkan di seluruh dunia didapati berlaku di Timur Tengah atau kes-kes tersebut telah didapati melakukan perjalanan ke Timur Tengah.

Sehingga 10 Jun 2015, sebanyak 1,271 kes MERS-CoV telah dilaporkan di 25 buah negara dengan sekurang-kurangnya 453 kematian, dan lebih 85 peratus daripada kes-kes tersebut telah dilaporkan di Arab Saudi.

Walau bagaimanapun, pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang larangan perjalanan ke negara-negara yang terjejas.

Jangkitan MERS-CoV boleh menyebabkan tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam selsema biasa seperti demam panas (38˚C atau lebih), batuk, dan sesak atau kesukaran bernafas.

ARTIKEL YANG SAMA