Tiada wang tebusan mangsa culik dibayar

Tiada wang tebusan mangsa culik dibayar

PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) – Tiada wang tebusan dibayar bagi pembebasan empat rakyat Malaysia yang diculik di selatan Filipina, demikian tegas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengesahkan wang sebanyak RM12 juta diserahkan pihak keluarga mangsa kepada pasukan keselamatan yang mengendalikan kes berkenaan di Sandakan, Sabah itu, namun ia tidak berada dalam simpanan polis.

Sebaliknya, wang tersebut telah diserahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada badan tertentu yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan di Filipina dan beroperasi secara sah mengikut undang-undang negara itu.

“Wang sebanyak RM12 juta yang diserahkan kepada pihak polis yang dikumpul melalui kutipan derma dan jualan hartanah keluarga mangsa adalah bukan sebagai wang tebusan.

“Wang itu diserahkan kepada Cawangan Khas PDRM dan saya mengesahkannya ia untuk disalurkan bukan sebagai wang tebusan tetapi diserahkan kepada badan tertentu di Filipina,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Wakaf Al-Quran Peringkat Kebangsaan di sini.

Beliau mengulas mengenai persoalan sama ada kerajaan membayar wang tebusan kepada penjenayah, iaitu kumpulan militan Abu Sayyaf untuk pembebasan, selepas empat keluarga mangsa culik dari Sarawak itu mengakui menyerahkan RM12 juta wang yang dikumpul kepada pihak polis.

Ahmad Zahid berkata tindakan tidak membayar wang tebusan, selaras dengan keputusan kerajaan yang memutuskan tiada sebarang tebusan yang dibayar dan pihak polis mematuhi arahan itu.

“Wang itu diserahkan kepada badan yang menjalankan aktiviti yang mengikut undang-undang, bukan aktiviti haram termasuk penculikan kerana kita langsung tidak mengiktiraf atau bersetuju dengan penculikan untuk wang tebusan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA