Tiada warga Brunei terlibat

Tiada warga Brunei terlibat

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Berita mengenai penahanan seorang lelaki warga Brunei Darussalam yang disyaki terlibat dalam aktiviti pengganasan di Riyadh, Arab Saudi oleh akhbar online, Saudi Gazette pada 16 September lalu, adalah tidak benar.

Sekretariat Jawatankuasa Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, pada 20 September 2016, akhbar Saudi Gazette online mengakui kesilapan dalam laporan awal mereka dan telah membetulkan laporan berkenaan.

Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Negara Brunei Darussalam melalui Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Riyadh, Arab Saudi memaklumkan bahawa kerajaan Arab Saudi telah mengesahkan tidak ada warga negara Brunei terlibat dalam penangkapan seperti yang telah dilaporkan.

Menurut kenyataan itu lagi, Jawatankuasa Keselamatan Negara dan pihak-pihak keselamatan Negara Brunei Darussalam akan terus memantau sebarang kegiatan yang mendatangkan ancaman terhadap kepentingan keselamatan negara.

Warga dan penduduk Negara Brunei Darussalam adalah diingatkan untuk mematuhi undang-undang dan tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti pengganasan atau jenayah semasa berada di dalam atau luar negara.