Tiang Hock juara kejohanan pingpong

Tiang Hock juara kejohanan pingpong

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Pemain perseorangan lelaki dari Sekolah Menengah Katok, Tiang Hock Yong menjuarai bahagian perseorangan lelaki Kategori C Kejohanan Pingpong Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Brunei Darussalam setelah menewaskan Mohd Syahiran Aizat Suriyazan dari Pusat Tingkatan Enam Meragang dengan mata 3-0.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir berkenaan hari ini ialah Ketua Unit Kegiatan Luar Jabatan Sekolah-sekolah, Pengiran Othman bin Pengiran karim yang seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang kejohanan yang diadakan di Kompleks Sukan Menglait di sini.

Empat lagi perlawanan lain di hari terakhir kejohanan sejak mula dibuka semalam (9 Mei 2016) adalah perlawanan akhir bagi regu lelaki kategori C di antara pasukan Sekolah Menengah (SM) PDSM Mentiri menentang pasukan tuan rumah SM Berakas.

Pasangan Awangku Abdul Malik bin Pengiran Mohd Kassim dan Mohd Amirul Iman bin Abdul Rahman tampil pemenang dalam perlawanan kategori berkenaan apabila menewaskan regu SM Berakas, Mohammad Amirul Amizi Azmi dan Awangku Mohd Yusri bin Pengiran Ibrahim dengan mata 3-1.

Gambar ramai bersama peserta yang menyertai kejohanan tersebut.
Gambar ramai bersama peserta yang menyertai kejohanan tersebut.

Bagi regu lelaki kumpulan B pula dimenangi oleh pasangan tuan rumah, Awangku Mohd Abidurrahman bin Pengiran Haji Mohammadin dan Mohd Saifuddin bin Abdullah yang menewaskan pasangan Awangku Mohd Zarul Shauki Adrian bin Pengiran Jefri dan Mohd Syafi Rizqullah bin Haji Hilmee dari SM Saiyyidina Abu Bakar dengan mata 3-0.

Perlawanan bahagian wanita tunggal hari ini di antara regu Pusat Tingkatan Enam Meragang, Nurr Ezzah Ezzaty Tuming dan Lim Wei Ting yang tampil gah mengalahkan regu pasangan Fatin Syaheerah Suhada dan Siti Nur Rabiatul Adawiyah dari SM PDSM Mentiri dengan mata 3-1.

Keputusan lain dalam kejohanan kali ini antara bahagian lelaki B perseorangan dimenangi SM Rimba diikuti oleh perseorangan dari SM PDSM Mentiri dan di tempat ketiga disandang perseorangan Sekolah Menengah Katok.

Bahagian Perseorangan Perempuan B pula dimenangi oleh wakil SM Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang menewaskan perseorangan SM Berakas yang terpaksa akur di tempat kedua dan perseorangan SM PDSM Mentiri di tempat ketiga.

Perseorangan Perempuan C pula menyaksikan wakil Pusat tingkatan Enam Meragang tampil juara meninggalkan saingan rapatnya dari SM Berakas di tempat kedua dan perseorangan SM PDSM Mentiri di tempat ketiga.

ARTIKEL YANG SAMA