Tiang sari Islam di Borneo

Tiang sari Islam di Borneo

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Melihat senario dan fakta yang ada hari ini, negeri-negeri Kepulauan Borneo pada keseluruhannya diperintah oleh orang-orang Islam dan lebih daripada separuh penduduk pulau ini ialah orang-orang Islam.

Sehubungan itu, untuk menjaga kemaslahatan orang-orang yang beragama Islam itu dan melestarikan kewujudannya, perlunya membangunkan tiang sarinya yang mantap dan kukuh.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman seterusnya menekankan, tiang sari tersebut adalah pendidikan Islam yang perlu disediakan prasarananya meliputi fizikal, material, akademik, sumber manusia dan pengurusan berkesan dari peringkat tadika, rendah, menengah bawah dan atas menuju ke peringkat tinggi.

Sektor pendidikan Islam inilah, tegas Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad, dapat melahirkan manusia yang berkaliber untuk menjadi guru agama, imam, hakim syarie, pendakwa syarie, pegawai agama, pentadbir, pemimpin masyarakat malah pemimpin negara yang berlatar belakangkan pendidikan Islam.

Menurutnya lagi, jika ini tidak disediakan, sudah tentu masyarakat dan negara akan menempuh zaman gelap pada masa hadapan dan mudah dipengaruhi oleh berbagai-bagai fahaman dan ajaran sesat yang menyimpang jauh dari ajaran Islam sebenar yang kita anuti selama ini iaitu aliran Ahli Sunah Waljamaah yang telah serasi dan sebati dengan kepercayaan, penghayatan dan budaya masyarakat Islam di pulau ini, malah di rantau ini.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke majlis perasmian KAIB VIII di UNISSA, kelmarin.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan YTM Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan berangkat ke majlis perasmian KAIB VIII di UNISSA, kelmarin.
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad ketika membentangkan kertas perdana bertajuk ‘Melstari DakWah dan Tamadun Islam di Borneo’
Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad ketika membentangkan kertas perdana bertajuk ‘Melstari DakWah dan Tamadun Islam di Borneo’

“Inilah yang perlu kita jaga dan pelihara yang mana idea inilah juga yang perlu disebarkan seluas-luasnya atas kepentingan bahawa ajaran agama Islam itu adalah yang terbaik,” tegas beliau, sambil menambah, di samping ia benar serta diredai oleh Allah Subhanahu Wata’ala, berdasarkan keterangan sahih dari Al-Quran dan As-Sunah di mana inilah agama yang akan diwariskan kepada anak cucu setelah kita meninggal dunia nanti.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menekankan perkara ini ketika menyampaikan kertas perdana bertajuk Melestari Dakwah dan Tamadun Islam di Borneo pada Konferensi Antarabangsa Islam Borneo ke-8 (KAIB VIII) yang berlangsung di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan, dari sektor dakwah Islam, perlunya menyediakan prasarana yang sempurna dengan dilengkapi segala kemudahan teknologi, material dan tenaga para da’ie yang berilmu, bertakwa, terlatih dan gigih untuk menangani segala keperluan dan permasalahan dakwah kepada orang bukan Islam dan orang-orang Islam sendiri.

Yang Berhormat Pengiran Dato juga percaya bahawa sektor pendidikan agama dan dakwah Islam telah pun dimiliki semua negeri dan wilayah di Kepulauan Borneo.

“Apa yang penting ialah masing-masing berusaha memperkasakannya dari semasa ke semasa mengikut kemampuan dengan penuh iltizam dan kesedaran serta usaha yang berterusan, tidak lalai dan alpa, malah dengan kerjasama antara negeri dan wilayah dalam kepulauan Borneo”.

Katanya lagi, ajaran Islam akan berkembang dengan baik dan ‘mesra masyarakat’ yang akan membawa kebaikan kepada bangsa, agama dan negara.

Dalam perkara ini, ujarnya, Brunei telah memiliki prasarana pendidikan Islam selengkapnya dari peringkat bawah hingga ke peringkat tinggi dengan menawarkan ilmu duniawi dan ukhrawi untuk dimiliki oleh setiap pelajar dan setiap individu.

Selain itu, negara ini juga memiliki prasarana dakwah dengan tertubuhnya Kementerian Hal Ehwal Ugama pada tahun 1986 dengan beberapa institusi, bahagian, unit dan jabatan di bawahnya termasuk Pusat Dakwah Islamiah yang mana agensi ini berperanan ke arah mendukung dan menyebarkan ajaran Islam di negara ini.

Apa yang penting ialah memperkuat prasarana tersebut dalam semua aspek dari semasa ke semasa.

“Ini sesuai dengan Wawasan Negara 2035 untuk melahirkan negara yang makmur, rakyat yang berkepandaian dan ajaran Islam yang dianuti dan ditaati yang mana ini sesuai dengan harapan untuk menuju negara ‘Baldatun Tayyibatun Wa Rabbun Ghafur’ iaitu Negara yang aman sejahtera dengan mendapat keampunan dari Allah Subhanahu Wata’ala,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA