Tiara Hotel Labuan cacat jualan memberangsangkan

Tiara Hotel Labuan cacat jualan memberangsangkan

LABUAN, 13 Mei (Bernama) – Tiara Hotel Labuan, pemenang Anugerah Hotel Mewah Dunia 2013 dan Anugerah Hospitaliti Platinum Asia (HAPA) Flavours of Asia 2013-2015, mencatatkan angka jualan yang memberangsangkan pada Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2016 di Kota Kinabalu, Sabah, yang baru sahaja berakhir baru-baru ini.

Lebih 100 baucar bilik berjaya dijual, kebanyakannya kepada pengunjung tempatan pada pameran tahunan selama tiga hari itu yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidin Manjun.

“Ini merupakan kali pertama kami membuka gerai pameran di Pameran MATTA dan sambutannya sangat menggalakkan, apabila kami menerima lebih 1,000 pengunjung ke gerai pameran kami.

“Lebih daripada 70 peratus baucar kami habis dijual, dan ini memberikan keyakinan kepada kami dalam arah aliran semasa industri pelancongan,” kata Pengurus Bahagian Hotelnya, Yatie Yussof kepada Bernama, di sini, hari ini.

Yatie berkata Tiara Hotel juga menawarkan pakej pada kadar istimewa bagi acara tahunan antarabangsa Labuan, Labuan Duathlon Challenge yang akan berlangsung pada 27 Ogos depan sebagai menyahut saranan kerajaan agar hotel-hotel membantu industri pelancongan.

Datuk Seri Masidin Manjun bertanyakan pakej-pakej yang ditawarkan oleh Tiara Hotel pada Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA). – Bernama
Datuk Seri Masidin Manjun bertanyakan pakej-pakej yang ditawarkan oleh Tiara Hotel pada Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA). – Bernama

“Kami meluaskan aktiviti promosi kami di luar dari pulau ini untuk terus bertahan, kerana ekonomi pulau ini terjejas akibat daripada penurunan harga minyak.

“Kami juga memperkenalkan pakej mampu milik untuk menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung ke Labuan dan ke hotel kami,” katanya sambil menambah hotel itu juga menawarkan pakej 2H1M (dua hari satu malam) ke taman-taman laut Kuraman, Rusukan Besar dan Rusukan Kecil.

Hotel sekutu Tiara Hotel termasuklah Tiara Villa, Palm Beach Resort Hotel dan Lazenda Hotel.

Pameran MATTA Sabah, yang telah memasuki tahun keenamnya, dijangka mencatatkan angka jualan kukuh dengan Pengerusi MATTA Sabah Robert Chong mengunjurkan jualan antara RM5 juta dan RM8 juta, meskipun hanya 48 pempamer yang mengambil bahagian.

Masidi berkata penyertaan badan-badan pelancongan luar di pameran tersebut merupakan petanda keyakinan bahawa pelancongan di Sabah mencatatkan prestasi baik.