Tidak ada ancaman tsunami melibatkan Brunei

Tidak ada ancaman tsunami melibatkan Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Maklumat yang disebarkan melalui media sosial ‘WhatsApp’ pada masa ini yang menyatakan Tsunami kemungkinan akan melanda Pantai Timur Sabah dalam masa 36 jam dan akan berlakunya ribut di Sabah dan Labuan serta Negara Brunei Darussalam adalah tidak berasas.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan bahawa tidak ada ancaman kejadian Tsunami melibatkan Negara Brunei Darussalam.

Setakat ini, tidak ada amaran Tsunami dikeluarkan oleh Pusat Tsunami dan Gempa Bumi, Agensi Kajicuaca Jepun (JMA). Sehubungan ini orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih melalui media sosial yang boleh menyebabkan keadaan resah dan panik kepada orang ramai.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Kementerian Perhubungan akan sentiasa memantau dari masa ke semasa keadaan cuaca dan perkara-perkara yang berkaitan, dan akan mengeluarkan amaran cuaca apabila perlu mengikut tatacara Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan.

Bagi mendapatkan maklumat cuaca terkini orang ramai boleh menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan, Divisyen Khidmat-Khidmat Cuaca, Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, melalui Talian Cuaca 114 atau 2345567, atau melayari laman web www.met.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA