Tidak ada bukti serangan pengganas

Tidak ada bukti serangan pengganas

KAHERAH, 14 Dis (AFP) – Mesir hari ini mengatakan ia masih tidak ada bukti yang ‘tindakan pengganas’ telah menembak jatuh sebuah pesawat Rusia pada hujung Oktober lalu di Semenanjung Sinai, seperti yang dinyatakan oleh Moscow.

Kumpulan jihad Islamic State (IS) mengatakan ia menyeludup bom di dalamnya yang telah meletupkan jet Rusia pada 31 Oktober, membunuh kesemua 224 orang di dalamnya.

Pada 17 November, Moscow mengatakan siasatan itu telah mendapati pesawat berkenaan yang berlepas dari pusat peranginan Sharm el-Sheikh Sinai telah dijatuhkan oleh bom yang dibawanya, pandangan yang dikongsi bersama pakar penerbangan.

“Komiti teknikal tidak menerima sebarang petunjuk setakat ini mengenai kehadiran campur tangan haram atau tindakan pengganas,” kata Ayman el-Mokkadem, ketua siasatan Mesir ke atas nahas itu.

“Komiti masih lagi meneruskan kerja berkaitan siasatan teknikal,” ujarnya dalam kenyataan yang disiarkan oleh kementerian penerbangan awam.

Penerbangan A-321 yang dioperasi oleh Metrojet Rusia dan menuju ke Saint Petersburg meletup di pertengahan udara di atas Sinai, beberapa minit selepas ia berlepas.

Serpihannya jatuh beberapa kilometer di seluruh Utara Sinai – benteng Mesir bagi cawangan IS.

Beberapa hari selepas nahas itu, Moscow membatalkan kesemua penerbangan dari dan ke Mesir. Britain juga telah menangguhkan hubungan udara dengan Sharm el-Sheikh.

“Saya hanya boleh mengulangi semula kesimpulan pakar dan perkhidmatan khas kami yang menunjukkan ia adalah sebetulnya tindakan pengganas,” kata jurucakap Kremlin, Dmitri Peskov, memberi tindak balas semula atas ucapan Mokkadem.

Pada 17 November, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan bahawa penyiasat Rusia telah menemui bukti sebiji bom di dalam kapal berkenaan, dan berikrar untuk menghukum penyerangnya.

“Kami akan mencari mereka di mana-mana saja mereka bersembunyi. Kami akan mencari mereka di mana-mana pun di dunia dan menghukum mereka,” katanya.

Pada hari yang sama, ketua keselamatan Rusia, Alexander Bortnikov mengatakan jet penumpang itu telah ditembak jatuh oleh sebuah bom dengan kekuatan sama dengan TNT seberat satu kilogram.

“Kami boleh katakan dengan jelas yang ia adalah serangan pengganas,” katanya.

“Siasatan telah dijalankan pada semua objek-objek (milik peribadi penumpang, bagasi dan bahagian pesawat udara) yang ada menunjukkan kesan-kesan bahan letupan buatan warga asing,” kata Bortnikov pada waktu itu.