Tidak halang perniagaan EU melabur di ASEAN

Tidak halang perniagaan EU melabur di ASEAN

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) – Penyusutan nilai beberapa mata wang serantau tidak menghalang perniagaan Eropah untuk melabur di ASEAN, kata perwakilan dari Kesatuan Eropah (EU).

Sebaliknya, Pengarah Eksekutif Majlis Perniagaan EU-ASEAN, Chris Humphrey berkata dagangan antara kedua-dua rantau itu tidak menunjukkan sebarang kemerosotan, dengan perniagaan Eropah terus berminat melabur di rantau ini.

EU yang merupakan sumber pelaburan langsung asing (FDI) terbesar di rantau ini dengan perdagangan tumbuh 9.0 peratus setahun sejak beberapa tahun lepas.

Prestasi bermakna ini kekal walaupun ASEAN berhadapan cabaran seperti penurunan harga minyak mentah dan turun naik mata wang, katanya pada sidang media pada Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-EU 2015 kali keempat hari ini.

Beliau berkata syarikat EU komited untuk terus melabur di rantau ini untuk tempoh jangka panjang dengan penurun-an nilai mata wang serantau lebih baik berbanding liabiliti kepada perniagaan Eropah untuk melabur di Asia Tenggara.

“(Penyusutan nilai mata wang) mungkin membimbangkan sesetengah pihak namun ia tidak menyebabkan perniagaan EU untuk tidak meneruskan pelaburan,” katanya.

Sidang kemuncak sehari itu dianjurkan bersama oleh Majlis Perniagaan EU-ASEAN dan Dewan Perniagaan dan Industri EU-Malaysia.

Sentimen yang disuarakan Humphrey itu disokong oleh Presiden Operasi Robert Bosch Asia Tenggara, Martin Hayes, yang berkata perbadanan kejuruteraan multinasional itu tidak mengesan impak ketara penurunan mata wang serantau dalam perniagaannya.

“Sebagai perbadanan multinasional, kami mempunyai operasi di lebih 160 negara, dan kami menjayakan aktiviti pengilangan di tempat yang memerlukan pada masa yang diperlukan oleh kilang kami,” katanya.

Mengenai Malaysia, Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri EU Malaysia, Fermin Fautsch, berkata dewan itu merancang mempromosi Malaysia kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Eropah sebagai gerbang strategik ke ASEAN.