Tidak lepaskan peluang berkunjung ke Istana Nurul Iman

Tidak lepaskan peluang berkunjung ke Istana Nurul Iman

Oleh Normazlina M.D & Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Julai – Peluang berkunjung ke Istana Nurul Iman bagi menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja yang lain, tidak dilepaskan oleh rakyat dan penduduk di negara ini tanpa mengira bangsa dan usia.

Salah seorang warga emas yang ditemui pada hari pertama Majlis Junjung Ziarah di Istana Nurul Iman, Haji Bakar bin Bakir, 74, dari Kampong Ayer, memberitahu bahawa tahun ini merupakan tahun kelima beliau mengunjungi istana bersama cucu-cucunya.

Katanya, selagi hayat masih ada, beliau tidak ingin melepaskan peluang untuk menjunjung ziarah kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kerabat diraja yang lain, dan menyaksikan sendiri perubahan di sekitar Istana Nurul Iman.

Bagi Persatuan Bekas Parajurit Negara Brunei Darussalam, berkunjung ke Istana Nurul Iman sempena Hari Raya Aidilfitri merupakan salah satu aktiviti tahunannya yang mana, tahun ini, seramai 30 orang ahlinya menyertai rombongan menjunjung ziarah berkenaan.

Antara ahli-ahli Persatuan Bekas Parajurit Negara Brunei Darussalam yang hadir mengikuti junjung ziarah di Istana Nurul Iman.
Antara ahli-ahli Persatuan Bekas Parajurit Negara Brunei Darussalam yang hadir mengikuti junjung ziarah di Istana Nurul Iman.
Haji Bakar dari Kampong Ayer dan Haji Mohd Daud dari Kampung Telamba Telisai tidak ingin melepaskan peluang bertemu dengan raja tercinta serta kerabat diraja yang lain.
Haji Bakar dari Kampong Ayer dan Haji Mohd Daud dari Kampung Telamba Telisai tidak ingin melepaskan peluang bertemu dengan raja tercinta serta kerabat diraja yang lain.

Timbalan Yang Di-Pertua Persatuan Bekas Parajurit Negara Brunei Darussalam, Mejar (B) Haji Karim bin Haji Sapar, berkata mereka amat berbesar hati kerana berpeluang hadir ke Istana untuk mengikuti junjung ziarah setiap tahun dan menikmati suasana Hari Raya bersama-sama ahli persatuan.

Sementara itu, seorang lagi warga emas yang ditemui, Haji Mohd Daud bin Tarsat, 69, berkata beliau sentiasa bersemangat hadir ke Istana Nurul Iman dan, hari ini, bertolak dari rumahnya di Kampung Telamba Telisai seawal pukul 6 pagi.

Menurut beliau, ini adalah peluang rakyat Brunei bertemu dengan raja mereka di Hari Raya Aidilfitri dan berpeluang memasuki serta melihat suasana Hari Raya Aidilfitri bersama rakyat di Istana Nurul Iman.

Dalam kesempatan itu, beliau mengucapkan Selamat Hari Keputeraan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, semoga Baginda dilanjutkan usia dan kekal karar memerintah negara.