Tidak mengaku cuba cabul pelajar

Tidak mengaku cuba cabul pelajar

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Seorang lelaki tempatan yang menghadapi tuduhan cuba mencabul kehormatan seorang pelajar dan cuba menculik dua pelajar perempuan Sekolah St Andrew’s mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi, hari ini.

Pengiran Shahirul Hamadi bin Pengiran Haji Jaya, 28, berdepan tiga pertuduhan cuba mencabul kehormatan seorang pelajar Sekolah St Andrew’s berusia 11 tahun dengan memasukkan tangannya ke dada pelajar itu antara jam 12 dan 12:18 tengah hari pada 29 Jun 2015 dalam kawasan sekolah, dan tuduhan cuba menculik dua orang pelajar perempuan Sekolah St Andrew’s berusia 11 dan 10 tahun pada waktu dan tarikh yang sama di kawasan sekolah.

Sementara menunggu persetujuan bagi tarikh perbicaraan tertuduh, Hakim Dato Paduka Steven Chong membenarkan tertuduh diikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan.

Tertuduh juga perlu mematuhi syarat-syarat untuk tidak mengganggu saksi, mendekati mana-mana sekolah atau kawasan sekolah dan untuk tidak ditangkap bagi kesalahan lain.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman manakala tertuduh diwakili Peguam Ahmad Zakaria.

p06-3_20150717

ARTIKEL YANG SAMA