Tidak mengaku kurung lelaki

Tidak mengaku kurung lelaki

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Tiga lelaki warga Bangladesh yang berdepan pertuduhan bersubahat dan mengurung seorang lelaki untuk tujuan memeras wang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini.

Mohammad Rafiqul Islam, 24, berdepan pertuduhan mengurung Yeanus Ali Ahsan Ullah di Ladang Kerajaan Luahan Jerudong antara 16 dan 18 Ogos 2015 untuk tujuan memeras wang berjumlah $4,300.

Mohammad Ali Hossen, 27, dan Mohammad Shahin Sheikh, 23 pula didakwa bersubahat dengan Mohammad Rafiqul dengan mengurung mangsa pada 16 Ogos 2015 untuk tujuan yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman bin Ahmad Zakaria memaklumkan mahkamah bahawa dia akan memanggil 12 orang saksi pendakwaan, dan tidak mempunyai bantahan untuk ketiga-tiga tertuduh dilepaskan atas ikat jamin yang mana mereka perlu mematuhi beberapa syarat iaitu untuk melaporkan diri ke Balai Polis Sengkurong setiap dua minggu, tidak mendekati mangsa atau menjejaskan mana-mana saksi pendakwaan dan tidak ditangkap untuk mana-mana kesalahan lain.

Hakim Pengiran Hajah Hanani binti Pengiran Haji Metussain membenarkan tertuduh diikat jamin $10,000 atau dua orang penjamin tempatan dan memerintahkan untuk pasport mereka ditahan.

Kes akan disebut semula pada 2 September 2015 untuk menetapkan tarikh perbicaraan.

ARTIKEL YANG SAMA