Tidak mengaku seludup wanita

Tidak mengaku seludup wanita

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Dua lelaki dari Filipina dan Cameroon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas tuduhan menyeludup dua wanita Filipina ke negara ini pada September 2012 dan Februari 2014.

Clydeelyn H. Cazal berusia 32 tahun dari Filipina dan Francis Viban Bayong, 29 dari Cameroon didakwa di bawah Perintah Pemerdagangan dan Penyeludupan Manusia 2004 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis, Penggal 120.

Kedua-dua tertuduh berdepan dakwaan terlibat dalam penyeludupan dua orang wanita, masing-masing berusia 33 dan 36 tahun ke negara ini; mengupah kedua wanita itu untuk tujuan pelacuran dan menggunakan beberapa kediaman sebagai rumah pelacuran.

Salah seorang daripada tertuduh turut berdepan dengan kesalahan di bawah Akta Lalu Lintas kerana didapati memandu tanpa lesen yang mana kesalahan ini membawa kepada hukuman denda $2,000 dan juga digantung daripada memandu.

pg06_150730_mahkamah logo

Timbalan Pendakwa Raya, Karen Tan dan Siti Nurjauinah binti Haji Kula membantah kedua-dua tertuduh dilepaskan atas ikat jamin, dan mahkamah memerintahkan kedua-duanya ditahan reman di Penjara Jerudong.

Hakim Dato Paduka Haji Hairol Arni bin Haji Abdul Majid menetapkan 4 Ogos untuk perbicaraan bagi permohonan ikat jamin tertuduh.

Hukuman bagi setiap pertuduhan penyeludupan manusia adalah denda $1,000,000, maksimum 30 tahun penjara dan sebatan manakala pertuduhan bagi pelacuran memperuntukkan hukuman lima tahun penjara dan denda $20,000.

Sementara itu, bagi pertuduhan menyediakan kediaman untuk aktiviti pelacuran membawa hukuman penjara selama setahun, denda $5,000 dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya ialah lima tahun penjara dan denda $20,000.