Tidak praktikal untuk abai Bahasa Inggeris – Adenan

Tidak praktikal untuk abai Bahasa Inggeris – Adenan

KUCHING, 15 Feb – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini mempertikaikan dasar pendidikan negara, dengan menyifatkan penekanan ke arah melahirkan rakyat Malaysia yang mahir hanya satu bahasa ialah satu ‘kegagalan’, menurut laporan laman sesawang The Malaysian Insider, hari ini.

Mempertahankan dasar beliau menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di negeri itu ketika menjawab kritikan ‘pejuang bahasa’ di Semenanjung, Adenan berkata dasar pendidikan negara mengecewakan anak muda Malaysia kerana ia melahirkan ribuan graduan menganggur.

“Kita melahirkan ribuan graduan setiap tahun yang tidak dapat mencari kerja kerana mereka tidak mahir berbahasa Inggeris.

“Mereka malah tidak mampu hendak buat satu ayat menggunakan 10 perkataan (dalam Bahasa Inggeris),” katanya pada Majlis Pelancaran Program Buku untuk Asia bersama Yayasan Asia, di Kuching.

Beliau bertanya, mengapa dasar pendidikan negara tidak boleh mencontohi negara-negara lain yang memberi penekanan terhadap penguasaan kedua-dua bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris.

“Mari kita bersikap praktikal tentang perkara ini. Janganlah kita berfikiran sempit.

“Bahasa Inggeris adalah bahasa perdagangan, sains dan bahasa antara negara. Mengabaikan Bahasa Inggeris adalah tidak praktikal.”

Adenan berkata Malaysia harus bersikap praktikal dan menyertai masyarakat antarabangsa dalam menjadikan rakyatnya mahir bertutur bahasa itu.

“Jika kita tidak menyertai usaha ini, kita akan jadi bodoh.”

Beliau juga bertanya para “pejuang bahasa”, mengapa rakyat Malaysia tidak boleh mengamalkan dasar dwibahasa atau tiga bahasa.

“Kita perlu belajar Bahasa Inggeris selain Bahasa Malaysia,” katanya.