Wednesday, April 24, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Tidak putus asa kejar ijazah, meski usia sudah 51 tahun

    CHINA – Cuaca lembap dan sejuk telah mencengkam bandar Changsha awal November, terutamanya pada awal pagi.

    Para penumpang yang menaiki pengangkutan awam pada awal pagi dapat merasakan kesejukan menembusi pakaian mereka, terutamanya sebelum matahari terbit.

    Huang Xinsheng menghentak kakinya agar darah mengalir dan memastikan dirinya hangat semasa menunggu bas datang.

    Sebaik pintu bas dibuka, dia cepat-cepat menaikinya dan mendapatkan tempat duduk sebelum mengeluarkan buku notanya yang berkerepot.

    Tidak seperti penumpang lain dalam perjalanan awal itu, kebanyakannya dalam keadaan mengantuk, Huang mula membaca tentang karya kesusasteraan kontemporari Cina dan istilah undang-undang.

    Huang belajar di rumahnya di Changsa– ANN/The China Daily
    Huang membersihkan jalan di Changsha. – ANN/The China Daily
    Ketika memiliki masa terluang, Huang akan pergi ke perpustakaan.– ANN/The China Daily

    “Semuanya adalah nota penting yang saya tulis malam tadi dan saya perlu menghabiskan pembelajarannya secepat mungkin,” kata wanita berusia 51 tahun itu.

    “Sebab esok ada lagi,” tambahnya.

    Apabila ditanya sama ada dia pernah berasa mabuk kereta atau menghadapi masalah membaca semasa perjalanan bergelombang, Huang berkata selepas bertahun-tahun melakukannya, dia sudah terbiasa dengannya.

    Huang turun di Jalan Yuehua di daerah Yuelu di Changsha, ibu kota wilayah Hunan di Tengah China. Itulah kawasan di mana dia bertanggungjawab untuk membersihkannya.

    Dia segera menyimpan buku notanya dan menukar pakaian seragam kerjanya, sebelum mengambil penyapu dan mula menyapu jalan.

    “Saya perlu membersihkan jalan sebelum waktu sibuk,” katanya.

    Ini adalah rutin Huang sejak dia menjawat jawatan itu pada 2014.

    “Setiap hari adalah seperti ini, saya perlu merebut semua masa yang terluang untuk belajar,” katanya.

    Rehat makan tengah hari dan masa sebelum tidur, selepas mengurus kerja rumah, semuanya telah digunakan untuk menuntut ilmu.

    Usaha gigih Huang telah menyaksikan baru-baru ini lulus ujian untuk kesusasteraan Cina kontemporari, bahasa Cina moden, penanaman moral dan asas undang-undang dalam mengejar ijazah kolej yang berterusan.

    Kepercayaannya dalam pembelajaran telah menarik perhatian wartawan berita tempatan, dengan kisahnya membantu memberi inspirasi kepada ramai orang lain untuk menggunakan inisiatif mereka sendiri dan belajar sendiri.

    Zhu Wei, seorang penduduk tempatan, berkata dia lebih kerap mengunjungi perpustakaan tempatan sejak membaca tentang Huang.

    “Kisah Huang semacam memberi awda insentif untuk memperbaiki diri dan menggunakan masa dengan lebih baik,” kata Zhu.

    Pada tahun 2000, Huang mendaftar diri untuk program Self-Taught Higher Education Examination, yang membolehkan tamat pengajian dari pengajian tinggi dan penganugerahan ijazah sarjana muda.

    Ujian itu dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan Pendidikan Kebangsaan bersama Kementerian Pendidikan dan membolehkan pelajar menamatkan kursus melalui pembelajaran kendiri tanpa pergi ke sekolah.

    “Saya suka membaca dan menulis sejak saya masih muda,” kata Huang.

    “Impian terbesar saya adalah untuk berjalan ke kampus kolej dan belajar bahasa dan sastera Cina.”

    Huang terpaksa menghentikan pendidikan formalnya selepas menamatkan pengajian dari sekolah menengah pada tahun 1990, apabila dia gagal lulus peperiksaan kemasukan kolej.

    Dia kemudian meninggalkan rumahnya di bandar Loudi, Hunan, untuk mencari kerja, menjalankan pelbagai pekerjaan, daripada menjadi penjual jalanan kepada pekerja akar umbi di sebuah kilang percetakan.

    Dalam pada itu, dia juga berkahwin dan mempunyai dua orang anak, tetapi dia masih meluangkan masa untuk belajar, memanjakan minatnya untuk belajar dengan membaca beberapa buku yang disimpannya.

    “Saya membeleknya setiap malam,” katanya.

    Dia juga menulis puisi dari semasa ke semasa dan berkongsi dengan rakan sekerjanya.

    “Saya agak teruja apabila semua orang mula menganggap saya artistik,” ingatnya.

    Namun, hidupnya tersasar apabila suaminya meninggal dunia. Huang kemudiannya dibebani dengan menyara seluruh keluarganya.

    “Perkara yang paling dekat dengan impian saya untuk pergi ke kolej ialah membaca apabila saya boleh,“ katanya.

    Pada waktu anak sulungnya menamatkan pengajian dari sekolah vokasional dan anak bongsunya hampir mencapai usia sekolah, Huang memutuskan untuk membawanya ke Changsha untuk pendidikan yang lebih baik.

    “Saya fikir lebih dekat dengan rumah adalah lebih baik untuk dia membesar dan belajar,” katanya.

    Pada 2014, Huang menjadi tukang pembersih di bandar untuk menyara keluarganya sambil tinggal dekat dengan anak lelakinya.

    Itu juga apabila dia mula pergi ke perpustakaan di kejiranan setiap kali dia mempunyai masa lapang untuk membaca dan belajar.

    Malah, selepas hari pertamanya bekerja di tempat kerja baharunya, dia pergi ke perpustakaan tempatan untuk mendapatkan kad keahlian.

    “Kad itu telah menemani saya selama lapan tahun dan saya telah meminjam lebih daripada 100 buku setahun,” kata Huang.

    “Buku adalah kawan baik saya, dan membacanya membuatkan saya lupa tentang keletihan saya,” kata Huang.

    Selepas anak lelakinya memasuki sekolah menengah, Huang menyedari bahawa anaknya menjadi agak memberontak dan enggan belajar.

    Oleh itu, dia berfikir untuk mencuba mendapatkan ijazah kolej melalui pendidikan kendiri dan segera memutuskan untuk bertindak mengikut idea itu.

    “Saya berharap melalui usaha saya sendiri, saya dapat merealisasikan impian saya untuk mendapatkan ijazah kolej dan menggunakan pengalaman itu untuk menggalakkan anak saya untuk tidak pernah berputus asa dalam pembelajaran,” kata Huang.

    Walaupun, kemudian dia mengambil lebih banyak pekerjaan sambilan, seperti pembantu rumah, Huang masih dapat memanfaatkan masa untuk belajar.

    Usaha itu membuahkan hasil apabila dia lulus ujian, keputusan yang diambilnya untuk ditunjukkan kepada kepada anaknya, bagi menjelaskan bahawa usahanya akan mendapat ganjaran dengan cara yang sama.

    Huang menganggap dirinya bertuah kerana semakin banyak perpustakaan tersedia untuk memenuhi keperluan pembelajaran orang sepertinya.

    “Terdapat perpustakaan di mana-mana di daerah Yuelu, yang membuatkan saya berasa sangat bersyukur,” kata Huang.

    “Melihat begitu ramai orang di sekeliling saya yang gemar membaca di perpustakaan seperti saya, saya berasa tidak keseorangan,” tambahnya.

    Ketika Huang membaca To Live karya penulis Cina, Yu Hua, dia berkata dia menghayati pengalaman watak utama dan kadangkala menangis.

    Buku itu merangkumi rentang empat generasi perubahan di China. Ia menggabungkan tema Taoisme, kesederhanaan dan nilai keluarga. Dia sangat menyukainya sehingga dia membeli salinannya.

    “Saya belajar banyak daripada buku itu, bukan sahaja tentang budaya dan cara menangani dunia, tetapi juga tentang memahami fikiran saya sendiri dan berasa gembira,” katanya.

    Dari novel hingga prosa, semakin banyak dia membaca, semakin dia merasakan hidupnya diperkaya dan lebih bahagia.

    Selain membaca, Huang juga menulis. Melalui limericks dan puisi moden, dia merakam kehidupan dan meluahkan emosinya. Dia juga akan berjaga hingga lewat malam untuk menulis.

    Dalam salah satu puisinya, dia membandingkan musim luruh dengan seorang pelukis yang telah melalui pasang surut kehidupan dan walaupun hebat, agak aneh.

    Ia adalah salah satu daripada ratusan karya beliau yang telah memasuki banyak penerbitan tempatan dan ke platform dalam talian.

    “Saya ingin menulis novel apabila saya bersara,” katanya.

    Apabila ditanya oleh beberapa orang dalam talian tentang mengapa dia melanjutkan pelajaran ke kolej pada usianya, dia berkata dia tidak mahu menyesal.

    “Saya melihat pembelajaran sebagai perkara sepanjang hayat. Setiap orang mempunyai kesedihan dan kegembiraan mereka sendiri, dan membaca dan menulis, bagi saya, adalah satu kelegaan dan kegembiraan yang tidak dapat digambarkan,” kata Huang.

    Walaupun masih terdapat 10 ujian mata pelajaran yang perlu dilalui oleh Huang untuk mendapatkan ijazah kolejnya, dia berkata ia hanya memberinya lebih insentif untuk belajar.

    “Perjalanan masih jauh, tetapi saya telah membuat perancangan dan bersedia untuk mencapai impian saya,” katanya. – ANN/The China Daily

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...