Tidak serik, akhirnya kena $108,000

Tidak serik, akhirnya kena $108,000

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Tidak serik dengan hukuman denda yang dikenakan pada 2010 atas kesalahan memiliki rokok seludup, seorang lelaki warga Malaysia sekali lagi menerima nasibnya apabila dijatuhi denda $108,000 atas pertuduhan yang sama oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Liew Lik Kiong, 34, didakwa memiliki 298 karton rokok pelbagai jenama yang tidak dikenakan cukai pada 18 Ogos 2015 kira-kira jam 2:50 petang di kilang perabot di Kampung Kilanas.

Majistret Dewi Norlelawati binti Haji Abdul Hamid memerintahkan defendan untuk membayar denda hari ini atau berdepan 20 bulan penjara.

Terdahulu, defendan memberitahu mahkamah dia memerlukan wang dan dengan cara menjual rokok, dia dapat membantu ayahnya untuk mendapatkan rawatan kanser namun ayahnya kini sudah pun meninggal dunia.

pg06_150821_mahkamah logo

Defendan merayu supaya hukuman denda ke atasnya dapat diringankan dan memohon untuk membuat pembayaran secara ansuran.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pegawai pencegah kastam membuat pemeriksaan ke sebuah kilang perabot berhubung dengan terdapatnya aktiviti penjualan rokok.

Pemeriksaan menemui rokok-rokok itu disimpan dalam kabinet dan juga di bilik stor kilang berkenaan.

Defendan pada 2010 pernah dijatuhi denda $800 atau berdepan sebulan penjara jika gagal membayar denda itu.