Tidak terlibat atur perlawanan Sukan SEA – Khairy

Tidak terlibat atur perlawanan Sukan SEA – Khairy

JOHOR BAHARU, 31 Mei (Bernama) – Malaysia tidak terlibat dalam sebarang kegiatan mengatur perlawanan bola sepak pada Sukan SEA ke-28 di Singapura, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau menegaskan Malaysia bebas daripada siasatan berkaitan gejala itu dan berharap perkara tersebut tidak menjejaskan perlawanan membabitkan pasukan negara.

“Berdasarkan laporan diterima setakat hari ini, ia tidak membabitkan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan bola sepak Malaysia.

“Saya difahamkan, kita (Malaysia) tidak terlibat dalam siasatan tersebut dan difahamkan ada sebuah negara yang kebetulan berada dalam kumpulan sama dengan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Fit Malaysia Johor 2015 di Dataran Bandaraya di sini Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas laporan mengenai seorang rakyat Singapura dan beberapa rakan subahatnya daripada pelbagai negara ditahan kerana dipercayai terbabit dalam mengatur perlawanan.

Semalam, Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dalam satu kenyataan berkata bahawa penangkapan dibuat dalam operasi pada lewat Khamis sehingga awal pagi Jumaat.

CPIB berkata beberapa anggota pasukan bola sepak Sukan SEA Timor Leste turut membantu biro berkenaan dalam siasatan tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA