Tidak terus dianggap pengganas – Zahid

Tidak terus dianggap pengganas – Zahid

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan rakyat Malaysia di Syria yang kembali ke tanah air tidak terus dianggap pengganas tetapi tidak menolak kemungkinan mereka akan ditahan untuk tujuan soal siasat.

Beliau berkata kerajaan tidak bersifat zalim untuk terus melabel semua warganegara yang pulang dari negara itu sebagai terlibat dengan kegiatan militan.

“KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak sekejam atau sezalim itu jika hendak menahan pelajar-pelajar Malaysia yang dibiayai oleh ibu bapa atau sumber-sumber lain.

“Apa yang kita lakukan, bukanlah untuk terus hukum, kita akan soal siasat … jika mereka tidak terlibat kita tidaklah zalim nak tahan mereka dalam jangka masa panjang.

“Apa yang dikhuatiri adalah apabila bekas tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri), KMM (Kumpulan Militan Malaysia) atau JI (Jemaah Islamiah) yang ke sana bukan untuk memperoleh ilmu dalam IPT (institut pengajian tinggi) tetapi ilmu peperangan ala gerila,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.