Tiga ahli PPN...

Tiga ahli PPNBD hadiri sidang di Bali

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 April – Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) tidak ketinggalan menghantar rombongan seramai tiga orang pesuruhjaya pengakap untuk menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin Pengakap Rantau Asia Pasifik ke-9 yang berlangsung di Inna Grand Bali Beach Hotel, Resort & Spa, Sanur, Bali, Indonesia pada 22 hingga 25 April nanti.

Rombongan daripada PPNBD yang akan menghadiri sidang kemuncak anjuran Pergerakan Pengakap Rantau Asia Pasifik dengan kerjasama Gerakan Pramuka Indonesia berkenaan ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Awang Badar bin Haji Awang Ali, Pesuruhjaya Antarabangsa, Awang Abdul Manan bin Haji Abdul Latip dan Setiausaha Agong PPNBD, Haji Zainuddin bin Haji Jaafar.

Sehubungan itu, hadir untuk mengucapkan selamat belayar kepada rombongan di majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat PPNBD, Jalan Gadong, hari ini, ialah Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Haji Idris bin Haji Abas serta pegawai-pegawai PPNBD .

Sidang kemuncak itu akan dihadiri oleh lebih 100 orang pemimpin pengakap daripada 25 buah negara dari rantau Asia Pasifik dan bermatlamat untuk menganalisis perkembangan pergerakan pengakap di rantau berkenaan di antara pemimpin-pemimpin pengakap serta untuk mengenal pasti cabaran yang bakal dihadapi oleh rantau berkenaan.

Di samping itu, para pemimpin pengakap akan berbincang untuk menyediakan hala tuju dan visi bagi rantau Asia Pasifik serta mengenal pasti bidang tumpuan fokus utama alaf triennium yang akan datang dan memberi cadangan-cadangan serta perkongsian maklumat dalam persiapan untuk Persidangan Pergerakan Pengakap Sedunia ke-41 yang akan berlangsung di Azerbaijan pada 14 hingga 18 Ogos nanti dan Persidangan Pengakap Rantau Asia Pasifik ke-26 di Filipina pada 2018 nanti.

ARTIKEL YANG SAMA