Tiga anggota ‘Sentosa’ tumpas

Tiga anggota ‘Sentosa’ tumpas

SIBU, 24 Sept (Bernama) – Kumpulan ragut ‘Geng Sentosa’ di bandar ini tumpas apabila tiga anggotanya diberkas baru-baru ini, kata Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Mohd Kamal Kordi.

Beliau berkata mereka yang berusia antara 20 hingga 31 tahun dan berasal dari Kampung Usahajaya, Jalan Sentosa.

Namun pihak polis sedang memburu seorang lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas, katanya.

Kumpulan berkenaan terbabit dalam 13 kes ragut di sekitar bandar Sibu.

Beliau berkata anggota geng tersebut sering menunggang dua buah motosikal dan mencari mangsa yang terdiri daripada golongan wanita dan warga emas.

Mohd Kamal berkata ketiga-tiga suspek tersebut mempunyai rekod berkaitan dadah.

Sementara itu beliau berkata seramai 15 individu termasuk lima wanita berusia antara 18 hingga 39 tahun ditahan di sebuah pusat hiburan dan sebanyak 105 biji ecstasy, 48 biji erimin, ketamin (5.39 gram) dan syabu (0.62 gram) turut dirampas.