Tiga atlet negara berlepas ke Rio

Tiga atlet negara berlepas ke Rio

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Tiga atlet Negara Brunei Darussalam berlepas ke Brazil hari ini bagi mewakili negara di temasya Sukan Olimpik ke-31 di Rio De Janeiro yang bermula dari 5 hingga 22 Ogos ini.

Hadir mengucapkan selamat belayar kepada Awang Mohd Fakhri bin Ismail dan Dayang Maizurah binti Abdul Rahim bagi sukan olahraga dan Jasper Woon Chai Yu bagi sukan badminton di Lapangan Terbang Antarabngsa Brunei di Berakas ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof serta Setiausaha Tetap di KKBS, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Kedua-dua atlet olahraga negara merupakan jemputan di bawah kuota IAAF selaku penerima biasiswa atlet kepada Majlis Olimpik Kebangsaan bagi menjalani latihan Sukan Olimpik Rio 2016 daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabngsa.

Jasper Woon pula merupakan peserta jemputan Tripartile Commision Invitation Places di bawah Kuota Persekutuan Badminton Antarabangsa melalui IOC berdasarkan mata dalam kedudukan zon asia.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Dato Paduka Dr. Haji Affendy bergambar ramai bersama tiga atlet negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Dato Paduka Dr. Haji Affendy bergambar ramai bersama tiga atlet negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas kelmarin.

Lima orang pegawai yang turut mengiringi atlet negara ke temasya itu diketuai oleh Chief De Mission, Dayang Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, seorang pengurus, dua jurulatih dan seorang pegawai urusetia.

Ketika ditemui, Awang Fakhri dan Dayang Maizurah menyatakan perasan teruja menyahut cabaran dengan sasaran sekurang-kurangnya memecahkan rekod peribadi masing-masing.

Ketika ditanya mengenai cabaran besar dalam kejohanan itu, Awang Mohd Fakhri berkata, masa dan suasana yang baru mungkin sahaja sesuatu yang belum dapat diduganya sementara Dayang Maizurah pula menegaskan kesempatan ini akan digunakan untuk menimba pengalaman.

Sementara itu, jurulatih sukan olahraga pula menegaskan persiapan rapi sudah dibuat sejak sembilan bulan lalu dan setakat ini kedua-dua pelari negara berada pada tahap yang memuaskan untuk meneruskan cabaran di sana.

ARTIKEL YANG SAMA