Tiga badan terima sumbangan Yayasan

Tiga badan terima sumbangan Yayasan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Nov – Dalam sama-sama memikul tanggungjawab menangani kebajikan golongan orang-orang yang berkelainan upaya dan memerlukan bantuan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, telah memberikan sumbangan berjumlah $105,000 kepada tiga pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan kepada golongan kelainan upaya.

Penyampaian sumbangan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Persatuan bagi Pengurusan Autisme dalam Latihan, Pendidikan dan Sumber Negara Brunei Darussalam (SMARTER Brunei) dan Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan yang juga selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, didahului dengan penyampaian sumbangan sebanyak $50,000 kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam yang diterima oleh Pemegang Amanah Kanan Pusat Ehsan, Dato Paduka Haji Mohd Alimin bin Haji Abdul Wahab.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, wang berkenaan merupakan sumbangan tahunan Yayasan kepada pusat tersebut yang telah bermula sejak tahun 2001 dalam memberi sokongan mengendalikan perkhidmatannya.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan sumbangan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan sumbangan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan kepada SMARTER.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan kepada SMARTER.
Yang Berhormat Pehin ketika menyerahkan sumbangan kepada wakil Olimpik Khas Brunei Darussalam.
Yang Berhormat Pehin ketika menyerahkan sumbangan kepada wakil Olimpik Khas Brunei Darussalam.

Seterusnya, Yang Berhormat Pehin menyampaikan sumbangan juga sebanyak $50,000 kepada SMARTER Brunei, yang diterima oleh Yang Di-Pertuanya, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman.

Yayasan juga telah memberikan sumbangan tahunan kepada SMARTER Brunei sejak tahun 2006, yang mana 50 peratus daripada sumbangan itu adalah untuk mengendalikan pengurusan dan menyediakan keperluan bagi pengendalian kegiatan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik.

Sementara itu, 50 peratus lagi untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autisme daripada keluarga yang mempunyai pendapatan rendah.

Sementara itu, SOBD pula telah menerima sumbangan sebanyak $5,000 bagi membiayai sebahagian daripada perbelanjaan kontinjen SOBD seramai 11 orang yang menyertai Borneo Cup 2015 pada 18 hingga 22 November di Berau, Kalimantan, Indonesia.

Menerima sumbangan berkenaan ialah Naib Pengerusi SOBD, Lt. Kol (B) Pengiran Haji Rambli bin Pengiran Haji Bunut.

ARTIKEL YANG SAMA