Tiga benteng Liverpool tidak beraksi

Tiga benteng Liverpool tidak beraksi

LONDON, 8 Jan (Reuters) – Liverpool kehilangan khidmat Dejan Lovren, Kolo Toure dan Philippe Coutinho pada pertembungan pusingan tiga Piala FA bertemu kelab kerdil, Exeter City pada Sabtu ini.

Ketiga-tiga pemain tonggak The Reds ini mengalami kecederaan ketika pasukan itu mencatat kemenangan 1-0 ke atas Stoke City pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga, Rabu lalu.

Pertahanan Croatia, Lovren dan perancang Brazil, Coutinho juga akan terlepas perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu pendahulu liga, Arsenal selain Manchester United, kata pengurus, Juergen Klopp pada sidang media, hari ini.

“(Kecederaan) Phil lebih serius berbanding Dejan dan Kolo namun tiada seorangpun pemain-pemain ini mampu diturunkan pada perlawanan esok (awal pagi Sabtu),” kata Klopp.

“Kolo sepatutnya boleh bermain pada minggu depan, Devan akan boleh bermain selepas perlawanan bertemu Manchester United. Phil memerlukan satu atau dua minggu lebih lama,” katanya.

Pengendali kelahiran Jerman itu berkata keadaan itu memaksanya untuk melakukan perubahan ketika bertemu Exeter.

“Pasukan yang bermain esok (Sabtu) pasti mahu menang perlawanan itu 100 peratus namun ia bukan pasukan yang selalu bermain bersama,” kata Klopp.

“Saya tidak tahu siapa yang akan diturunkan. Kami akan berlatih dalam tempoh dua jam dari sekarang dan lihat siapa yang akan bermain.”

Klopp dalam pada itu turut membalas tuduhan rakan sejawatannya, Sam Allardyce yang mengatakan strategi intensiti tinggi yang diperkenalkannya di Anfield sebagai punca kepada krisis kecederaan pasukan itu.

“Saya lega untuk Sam, kerana pengurus yang mempunyai pengalaman sepertinya mempunyai masa untuk memikirkan masalah Liverpool. Masalahnya ialah, pada situasi ini, kami bercakap mengenai intensiti corak latihan saya. Saya tidak cipta corak ini, bagaimana saya mampu? Saya bukan genius.

“Kami cuba untuk menjadi berjaya namun kamu perlu sedikit tuah, dan kami tidak mempunyainya.”

ARTIKEL YANG SAMA