Tiga beradik juara Cyber Battle

Tiga beradik juara Cyber Battle

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Kumpulan ‘Much Wow’ muncul juara pertandingan akhir Cyber Battle: Capture The Flag, sekali gus membawa pulang wang tunai $600, satu MacBook Air setiap seorang, latihan keselamatan CompTIA oleh TechnoRada dan akan mewakili Brunei ke Perlawanan Cyber SEA Game 2015 yang akan diadakan di Jakarta nanti.

Kumpulan yang terdiri daripada tiga beradik remaja, Lim Chien Yee, Lim Chien Lau dan Lim Wan Shen, memberitahu media bahawa, mereka belajar mengenai permainan mencabar ini, kebanyakannya daripada sumber Internet dan kerjasama di antara satu sama lain.

“Kami sangat bersyukur di atas kemenangan kami dan dengan adanya latihan yang diberikan oleh TechnoRada ini nanti akan dapat mempertingkatkan lagi kemahiran kami dalam pertandingan yang lebih besar di Jakarta,” ujar Lim Wan Shen.

Sementara itu, tempat kedua pertandingan anjuran IT Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS) itu disandang oleh Kumpulan #CopyPaste, yang juga akan mewakili negara ke Jakarta bagi menyertai perlawanan Asia Tenggara, di samping memenangi wang tunai $450, latihan keselamatan CompTIA oleh TechnoRada dan mesin Chic Smart S1 bagi setiap ahli.

Kumpulan Much Wow yang menjuarai pertandingan tersebut.
Kumpulan Much Wow yang menjuarai pertandingan tersebut.
Tempat kedua Kumpulan #Copypaste.
Tempat kedua Kumpulan #Copypaste.
Tempat ketiga Kumpulan Tikana.
Tempat ketiga Kumpulan Tikana.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan ‘Tikana’, yang menerima wang tunai $300 dan GoPro HERO4 bagi setiap seorang.

Kesemua hadiah telah disampaikan oleh Setiausaha Tetap (keselamatan dan Penguatkuasa) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Hamdan bin Haji Abu Bakar yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Pertandingan yang berlangsung dari pagi hingga petang di Dewan Seri Kerna Bangunan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Brunei Darussalam (AITI) itu menyaksikan sembilan kumpulan yang gemar dalam permainan Internet bertanding dalam pertandingan seumpamanya yang pertama kali diadakan di negara ini.

Dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif ITPSS, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis berkata pertandingan ini memerlukan peserta menggunakan kepintaran mereka untuk mencari dan mengeksploitasi kelemahan yang terdapat pada server permainan video yang telah disediakan, memperbetulkan ciri keselamatan server tersebut dan seterusnya mempertahankan bendera masing-masing.

“Pasukan yang bertanding perlu menyelesaikan cabaran yang ada seperti serangan siber berasaskan jaringan (network), serangan berasaskan laman sesawang, eksploitasi, forensik digital dan analisis paket. Manakala pemarkahan akan berdasarkan mata serangan dan mata pertahanan,” jelasnya.

Beliau seterusnya menjelaskan, objektif utama pertandingan itu adalah untuk mengenal pasti pemain tempatan yang berbakat bagi mewakili negara ke Pertandingan Permainan Siber SEA ASEAN-Jepun yang akan diadakan di Jakarta, Indonesia pada November 2015.

ITPSS juga akan menyediakan latihan Capture The Flag kepada dua pasukan terbaik pertandingan itu iaitu Much Wow dan #CopyPaste bagi mempersiapkan mereka menghadapi pertandingan di Jakarta berkenaan.

Pertandingan ini telah dibukakan kepada rakyat dan penduduk tetap Negara Brunei Darussalam yang berumur 30 tahun ke bawah. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Cyber Battle: Capture The Flag, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang www.itpss.com/cyberbattle.

ARTIKEL YANG SAMA