Tiga beradik juarai kejohanan silat

Tiga beradik juarai kejohanan silat

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 26 April – Tiga beradik iaitu Awang Mohd Alif, Awang Afifi dan Awang Arif ketiga-tiganya muncul juara bagi kategori-kategori yang dipertandingkan dalam Kejohanan Silat sempena Hari Kebangsaan yang berlangsung semalam dengan memenangi tiga emas, satu perak dan satu gangsa.

Mewakili Ikatan Pencak Silat Nusantara (IPSN), ketiga-tiga pesilat ini bertanding dalam Kategori Dewasa Kuntau dan Solo Kreatif yang diadakan bertempat di bangunan Pejabat Daerah Seria.

Awang Alif yang berusia 19 tahun memenangi emas dalam kedua-dua kategori mendapat markah tinggi dari pada para juri hasil gabungan ketepatan dan kelajuan yang dipersembahkan oleh beliau.

Beliau menyatakan kegembiraannya untuk menang di tempat kelahiran beliau di sini setelah melalui beberapa pertandingan di Bandar Seri Begawan dan di rantau Asia Tenggara sebelum ini.

Para pesilat yang menyertai kejohanan itu bergambar ramai.
Para pesilat yang menyertai kejohanan itu bergambar ramai.
Salah satu aksi yang dipamerkan oleh pesilat-pesilat dalam kejohanan itu.
Salah satu aksi yang dipamerkan oleh pesilat-pesilat dalam kejohanan itu.

“Saya dan adik-beradik saya telah berlatih keras untuk pertandingan ini, dan kami gembira kerana dapat melakukannya dengan baik. seterusnya saya akan menumpukan kepada pertandingan di Negeri Sembilan, Malaysia pada bulan September ini,” ujar Awang Aliff.

Pesilat muda itu kini merancang untuk bersaing di Pertandingan Pencak Silat Timbalan Perdana Menteri dalam Kategori Duo Gaya Bebas.

IPSN merekodkan emas dalam dua kategori lain; Lelaki Dewasa Silat Cekak Asli dan Wanita Remaja Cekak Asli.

Seni Warisan Pelangi (SWP), sebuah kumpulan silat yang berasal dari Mukim Seria, telah mendominasi pertandingan tersebut dengan memenangi tujuh pingat emas sementara tiga kategori yang lain turut dimenangi oleh Persatuan Silat PERGAH.

Jurulatih SWP, Awang Ahmad bin Ismail amat berpuas hati dengan prestasi mereka, tetapi kesal dengan tiga pesilat yang mendapat tempat kedua.

“Kejohanan ini satu langkah yang baik yang memberikan lebih banyak peluang bagi mereka (pesilat) untuk mengambil bahagian dan mendapat pengalaman berharga dalam persaingan seperti di sini,” katanya.

Setiausaha Cawangan Belait daripada Persatuan Silat Brunei (PERSIB), Awang Fairulman bin Haji Bidin berkata pertandingan itu juga berfungsi sebagai platform untuk atlet dari Daerah Belait untuk mempamerkan potensi mereka bagi menyertai pasukan kebangsaan.

“Para pesilat yang menyertai malam ini (kelmarin) sungguh berbakat dan platform ini akan dapat memberikan PERSIB peluang untuk mencalonkan atlet dari Daerah Belait untuk mewakili kebangsaan nanti,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA