Tiga buah rumah dijilat api

Tiga buah rumah dijilat api

Oleh Syahmi Hassan & Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Kesedihan dapat dirasai oleh pemilik dua buah rumah di Kampung Burong Pingai Ayer apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 9 pagi, di sini, hari ini.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 9:09 pagi dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.

Sebanyak 23 orang anggota bomba dan penyelamat dan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Kebun dikerahkan ke tempat kejadian yang diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba, Haji Amin Arif bin Haji Nasir.

Hasil daripada tindakan pantas ahli-ahli bomba, api dapat dikawal dalam masa 14 minit.

Pemilik salah sebuah rumah, Hajah Siti Aidah binti Pengarah Dato Paduka Haji Othman, 66, meluahkan rasa sedihnya ketika ditemui Media Permata sejurus selepas kejadian kebakaran berkenaan.

 Pengiran Rafae bersama keluarga terpaksa tinggal di rumah bapa saudaranya yang berdekatan buat sementara waktu.
Pengiran Rafae bersama keluarga terpaksa tinggal di rumah bapa saudaranya yang berdekatan buat sementara waktu.
Haji Abdul Majid ketika ditemui Media Permata.
Haji Abdul Majid ketika ditemui Media Permata.

Beliau berasa bersyukur kerana tiada sebarang kehilangan nyawa berlaku ataupun kecederaan akibat kejadian berkenaan, namun rumah berkenaan merupakan tempat sumber pendapatan mereka dan kerugian yang dihadapi boleh mencecah hingga ratusan ribu.

“Di dalamnya mempunyai 17 buah rumah tenunan (mesin tenunan). Sebuah rumah tenunan sudah mencecah harga $1,200,” ujar Hajah Siti Aidah.

Beliau menambah, “Sebanyak 43 jenis gulungan benang sudah sedia untuk dijadikan kain. Kalau ia dijadikan kain, boleh sahaja mencecah harga puluhan ribu.”

Beliau dan suaminya, Haji Abdul Majid bin Haji Tuah, 76, menjelaskan bahawa rumah berkenaan dihuni oleh dua orang pekerja mereka dan beliau serta suaminya tinggal berdekatan dengan rumah tersebut.

Ketika kebakaran berlaku, mereka tidak berada di tempat kejadian kerana menghantar salah seorang anaknya belayar ke luar negeri.

Ketika ditanya mengenai punca kebakaran, beliau kurang pasti namun api kebakaran berasal dari rumah jiran sebelahnya yang dimiliki oleh Pengiran Rafae bin Pengiran Haji Yassin.

Pengiran Rafae, 45, dan isterinya Dayang Masnah binti Tuah, 40, ketika ditemui Media Permata di rumah bapa saudara mereka menjelaskan bahawa punca kebakaran berasal dari bilik mereka, namun mereka tidak tahu bagaimana boleh terjadinya kebakaran tersebut.

Dua buah rumah yang telah ranap dijilat api.
Dua buah rumah yang telah ranap dijilat api.

“Saya ketika itu berada di dapur dan anak saya terus memanggil saya kerana ada api menyala dari bilik,” jelas Dayang Masnah.

Beliau menambah bahawa ketika itu cuma ada dia, suaminya dan anaknya seorang saja kerana lima orang anaknya yang lain sedang bersekolah.

Kini keluarga Pengiran Rafae tinggal sehelai sepinggang kerana kebakaran berkenaan telah melenyapkan semua harta benda mereka dan tiada satu pun yang sempat mereka selamatkan, dan mereka berharap agar ada bantuan daripada mana-mana pihak terutama dari segi bantuan barang-barang sekolah memandangkan anak-anak mereka kesemuanya masih bersekolah.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah rumah milik Hajah Sarbiah binti Haji Bahar di Kampung Tungku turut terlibat dalam kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 4 petang memusnahkan sebahagian tingkat atas rumah dua tingkat berkenaan.

Sebanyak empat jentera bomba dan 11 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beribi dan Rimba yang diketuai oleh Pegawai Balai Bomba Beribi, Japar bin Haji Ibrahim dikerahkan ke tempat kejadian.

Kebakaran berjaya dikawal dalam masa 28 minit dan punca serta kerugian kini masih dalam siasatan.