Tiga definisi ibu tunggal dikenal pasti

Tiga definisi ibu tunggal dikenal pasti

KUCHING, 5 Okt (Bernama) – Kerajaan kini mengiktiraf tiga definisi bagi ibu tunggal, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata definisi itu dipersetujui oleh jawatankuasa petugas yang ditubuhkan awal Jun tahun lalu.

Definisi itu ialah wanita yang merupakan ketua keluarga yang telah bercerai atau berpisah secara kekal dengan suaminya dan mempunyai anak yang belum berkahwin yang tinggal bersamanya.

Definisi kedua merupakan wanita selaku ketua keluarga dan telah berkahwin namun suaminya tidak mampu bekerja ekoran kesihatan yang tidak mengizinkan dan terdapat anak yang belum berkahwin dalam keluarganya.

Ketiga ia berupa wanita ketua keluarga dan tidak pernah berkahwin dan mengambil anak angkat atau anak tidak sah taraf.

Rohani berkata definisi itu dapat menjelaskan kekeliruan mengenai status ibu tunggal dan bantuan yang sepatutnya disampaikan kepada mereka dan individu yang bergantung kepada mereka.

“Sebagai hasilnya, jika sebelum ini terdapat kira-kira 800,000 ibu tunggal dalam rekod kita, tetapi selepas pengkelasan itu, jumlahnya berkurangan kepada 235,240 orang,” katanya kepada pemberita pada majlis perjumpaan dengan pemimpin wanita korporat, badan bukan kerajaan dan penjawat awam di sini, Isnin.

Beliau menjelaskan bagi warga emas yang berumur lebih 60 tahun dan mengambil anak angkat, mereka tidak boleh diklasifikasikan sebagai ibu tunggal tetapi lebih kepada warga emas, tetapi kementeriannya akan mengendalikan kes itu secara basis.