Tiga ditahan di kawasan larangan

Tiga ditahan di kawasan larangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Sebuah perahu nelayan membawa tiga warga tempatan berusia di antara 28 dan 40 tahun telah ditahan oleh Polis Marin, Pasukan Polis Diraja Brunei kerana didapati menangkap ikan di kawasan perairan Pelantar Minyak Champion, kelmarin.

Perahu berkenaan ditahan di kedudukan lingkungan 500 meter perairan pelantar berkenaan, dalam rondaan dan operasi bersepadu bersama pihak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan pihak Jabatan Perikanan di kawasan perairan Pelantar Minyak Champion.

Pemandu dan penumpang serta perahu jenis kaca gentian berukuran 20 kaki panjang dengan kekuatan enjin Yamaha 85hp, telah dibawa ke Polis Marin Muara untuk siasatan lanjut di mana ketiga-tiga warga tempatan berkenaan disoal siasat.

Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam kenyataannya hari ini, menyeru orang ramai supaya tidak memasuki kawasan perairan mana-mana pelantar minyak luar pantai negara kerana ia merupakan satu kesalahan yang boleh dijatuhi hukuman.

Mengikut Perintah Perkapalan Pedagang (Zon-Zon Keselamatan) (Pindaan) 2013, kapal atau perahu tidak boleh memasuki jarak lingkungan 500 meter daripada binaan-binaan yang terletak dalam lingkungan kawasan perairan wilayah dan pesisiran laut Negara Brunei Darussalam.

Mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dihukum di bawah seksyen 132 (6), Perintah Perkapalan Pedagang 2002 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi $100,000 sementara kapal atau perahu boleh ditahan oleh pihak berkuasa.

ARTIKEL YANG SAMA