Tiga gempa lemah landa Sabah

Tiga gempa lemah landa Sabah

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) – Tiga gempa bumi lemah berlaku di Sabah pada Khamis, kata Jabatan Meteorologi Malaysia.

Menurut jabatan itu, gempa pertama, berukuran 2.8 pada skala Richter, berlaku pada 10.08 pagi; gempa kedua, berukuran pada 1.9 skala Richter, berlaku pada 1.24 tengah hari dan gempa ketiga, berukuran 2.1 pada skala Richter, berlaku pada 3.30 petang.

Pusat gempa bagi kejadian pertama terletak 25 kilometer di barat laut bandar Ranau; kedua, 16 kilometer di barat daya bandar itu dan ketiga, 24 kilometer di timur laut Tambunan. Menurut jabatan itu, gegaran turut dirasai di Ranau. Pada 5 Jun, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Ranau dan kawasan sekitarnya, menyebabkan 18 orang terbunuh.

Sementara itu di RANAU, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam ketika lawatan ke daerah itu berkata sebanyak 31 kemudahan kesihatan di Sabah mengalami kerosakan pelbagai tahap akibat gempa bumi yang melanda negeri ini pada 5 Jun lalu serta puluhan gempa susulan selepasnya.

Beliau berkata daripada jumlah berkenaan, 11 premis kesihatan yang mengalami kerosakan di Ranau ialah lima Klinik Desa (KD), empat Klinik Kesihatan (KK), sebuah klinik ibu dan anak (KIA) dan sebuah kuarters Hospital Ranau manakala kerosakan di Tuaran pula ialah masing-masing satu KK dan KIA serta enam KD.

Kampung Kiau Taburi yang terletak di lereng Gunung Kinabalu merupakan antara kampung yang terjejas teruk berikutan beberapa siri gegaran gempa bumi di Sabah. – Bernama
Kampung Kiau Taburi yang terletak di lereng Gunung Kinabalu merupakan antara kampung yang terjejas teruk berikutan beberapa siri gegaran gempa bumi di Sabah. – Bernama
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam bertanya sesuatu kepada kakitangan hospital daerah Ranau ketika melakukan lawatan di hospital itu kelmarin. – Bernama
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam bertanya sesuatu kepada kakitangan hospital daerah Ranau ketika melakukan lawatan di hospital itu kelmarin. – Bernama

Katanya terdapat sembilan kemudahan kesihatan turut mengalami kerosakan di Kota Belud iaitu Hospital Kota Belud sendiri dan satu KK dan tujuh KD,di daerah Papar masing-masing satu KIA dan KD dan di daerah Putatan hanya sebuah KK.

“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menentukan apakah langkah yang akan diambil untuk memperbaiki kerosakan itu. Kalau pemeriksaan JKR secara forensik menentukan bahawa bangunan itu tidak selamat lagi, kita akan mengambil kira pandangan ini dan membina kemudahan baharu.

Kalau JKR memberi pandangan bahawa (sesebuah) bangunan itu masih selamat dari segi strukturnya dan memerlukan kerja-kerja pembaikan sahaja terhadap kerosakan di bangunan itu maka kita akan lakukan kerja pembaikan sahaja ke atas bangunan itu,” katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan rasmi ke Sabah hari ini.

Antara kemudahan yang dilawati Dr Subramaniam ialah KD Kelawat, Tuaran; KK Kundasang dan persekitaran Hospital Ranau. Beliau diiringi Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi semasa lawatan itu.