Tiga gergasi La Liga kekal di atas

Tiga gergasi La Liga kekal di atas

MADRID, 31 Dis (dpa) – Tiada perubahan pada kedudukan teratas Liga Sepanyol semalam ketika tiga pasukan pendahulu memenangi perlawanan mereka masing–masing.

Pasukan pendahulu, Barcelona menewaskan Real Betis 4-0, Atletico Madrid menang 2-0 di Rayo Vallecano, dan Real Madrid menewaskan Real Sociedad 3-1.

Barca menyamakan kutipan 38 mata bersama Atletico Madrid tetapi memiliki perbezaan jaringan besar dan satu perlawanan di tangan. Real berada di tangga ketiga, dua mata di bawah pendahulu.

Barca mendahului jaringan ketika menentang Betis menerusi jaringan sendiri Heiko Westermann, selepas Neymar menggegarkan palang menerusi sepakan penalti yang dipertikaikan.

Lionel Messi mengubah kedudukan menjadi 2-0 dengan golnya yang ke-425 dalam perlawanan ke-500 bersama Barca. Kemudian Luis Suarez menjadi tumpuan dengan jaringan untuk mengungguli carta jaringan.

Cristiano Ronaldo ketika menjaringkan gol kedua buat Real Madrid. – Reuters
Cristiano Ronaldo ketika menjaringkan gol kedua buat Real Madrid. – Reuters

Ia adalah cara sempurna bagi Barca menamatkan apa yang dilihat tahun 2015 yang cemerlang bagi mereka, dengan lima trofi dan pujian dari media global.

“Tahun 2015 adalah tahun yang hebat bagi kami,” kata Messi.

“Tujuan kami adalah untuk menjadikan tahun 2016 lebih baik bagi kami, jika ia mungkin. Kami mahu terus meningkat dan meneruskan menjadi pasukan yang bercita-cita dan bersemangat.”

Dalam perlawanan lebih awal, Atletico menjaringkan gol kemenangan 2-0 di Rayo Vallecanio, menerusi jaringan dari Angel Correa dan Antoine Girezman pada lima minit terakhir.

“Kemenangan ini adalah daripada permainan konsisten dan karakter kami. Kami enggan menyerah bagi keputusan seri, kami tidak berhenti mencari kemenangan,” kata jurulatih Atletico, Diego Simeone.

Dalam perlawanan malam bermula dengan Real Madrid menjaringkan gol kemenangan ke atas Real Socidead.

Real Madrid diberikan dua penalti pada separuh masa pertama, Cristiano Ronaldo terlepas penalti pertama namun berjaya menjaringkan pada penalti kedua, sementara Sociedad tidak diberikan penalti yang ternyata layak diberikan.

Bruma menyamakan kedudukan buat Sociedad dengan tendangan percuma yang cantik hanya untuk Ronaldo membalas balik dengan ledakan voli ke gawang Sociedad.

Pemain gantian Lucas Vasquez menutup jaringan buat Real Madrid empat minit sebelum masa tamat untuk kedudukan 3-1 hingga masa tamat, hasil hantaran cantik daripada Gareth Bale.

Ia merupakan kemenangan kontroversi Real buat kali kedua berturut-turut berikutan perlawanan membelasah Rayo Vallecano 10-2, yang memperlihatkan dua pemain Rayo dibuang padang apabila pasukan pengunjung mendahului 2-1.