Tiga hadiah menarik tunggu penonton

Tiga hadiah menarik tunggu penonton

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Nov – Sekretariat pasukan bola sepak elit negara, DPMM FC menawarkan tiga hadiah menarik kepada para penonton yang hadir awal untuk menyaksikan perlawanan Piala Liga Singapura antara Skuad DPMM FC dan Balestier Khalsa FC, di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas pada malam Sabtu ini.

Hadiah-hadiah menarik itu berupa tiket masuk percuma kepada setiap penyokong yang hadir di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, lebih 1,000 kemeja-T untuk diberikan percuma kepada pemegang tiket masuk terawal dan peluang untuk memenangi salah satu daripada tiga tiket penerbangan dalam cabutan bertuah tiket masuk penonton.

Pengumuman itu dibuat Pengurus Skuad DPMM FC, Awang Ali bin Haji Momin sewaktu ditemui di sesi latihan skuad itu di Stadium Mini, Jerudong hari ini.

Katanya, pengumuman itu sekali gus memberikan jawapan kepada pertanyaan dan desas-desus yang dipos oleh peminat di media sosial mengenai perlawanan di laman sendiri oleh DPMM FC yang ketika ini menyandang tangga teratas Liga Singapura.

Awang Ali ketika ditemui sewaktu menyaksikan sesi latihan Skuad DPMM FC.
Awang Ali ketika ditemui sewaktu menyaksikan sesi latihan Skuad DPMM FC.

“Pintu masuk ke perlawanan itu akan dibuka seawal pukul 6.45 petang untuk membolehkan penonton masuk dan mendapatkan tiket percuma yang akan disimpan untuk mendapatkan kemeja-T percuma dan kemudiannya untuk melayakkan mereka menyertai cabutan bertuah yang menawarkan tiga tiket penerbangan tajaan Penerbangan Diraja Brunei (RB) ke destinasi yang akan diberitahu kemudian,” ujarnya.

Ketika diminta memberi pandangannya mengenaibarisan kesebelasan utama yang akan mempertahankan kedudukan dalam perlawanan terakhir pasukan DPMM FC pada Sabtu ini, beliau berkata, pihaknya tidak menghadapi masalah dalam menentukan siapa yang bakal turun pada malam perlawanan nanti kerana semua pemain DPMM FC bebas daripada sebarang hukuman dan kecederaan.

Walaupun yakin perlawanan itu akan memihak kepada pasukan tuan rumah, namun sokongan moral para peminat memenuhi setiap ruang Stadium Negara Hassanal Bolkiah pasti memberikan impak terhadap persiapan mental para pemain DPMM FC.

Pasukan DPMM FC menduduki tangga teratas Liga Singapura dengan mengumpul 49 mata manakala kekurangan dua mata di belakangnya ialah Pasukan Tempines Rovers FC yang kini mengumpul 47 mata.