Tiga kakitangan JKR didakwa pecah amanah

Tiga kakitangan JKR didakwa pecah amanah

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Empat lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah.

Pengiran Harun bin Pengiran Haji Damit, 61, Haji Ghazali bin Haji Metusin, 53, Ali bin Karim, 42 dan Jeffri bin Omar,43, yang merupakan kakitangan di Jabatan Kerja Raya (JKR), didakwa melakukan pecah amanah terhadap barang milik kerajaan yang bernilai $10,000 antara Disember 2007 dan Mac 2008.

Kesemua tertuduh mengakui telah melakukan pecah amanah dengan mengambil beberapa barang di dalam stor Tasek Lama antara Disember 2007 dan Mac 2008, dan menjualnya pada Pengurus Hock Liong Plumbing dan juga kedai besi buruk di Kampung Kilanas, yang mana hasil jualan dibahagikan di antara mereka.

Barang-barang berupa 157 unit paip keluli tahan karat, 58 unit tron jubin gelap, dua unit pili bomba, 49 unit check valve, 76 unit Elbow CXMI, 19 unit soket CXFI, tiga unit Tee CXCXC, 25 unit CXMI Couple, 25 unit CXMI Coupler dan 36 unit Tee CXCXC bagaimanapun dapat ditemui semula.

Pemangku Majistret Kanan, Hajah Ervy Sufitriana binti Haji Abdul Rahman menetapkan 2 Jun untuk sebutan semula kes, dan membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin $2,000 atau seorang penjamin tempatan setiap seorang.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Norsuzanawati binti Pengiran Haji Abas.

ARTIKEL YANG SAMA