Tiga kesalahan dikesan dalam Ops KESAN

Tiga kesalahan dikesan dalam Ops KESAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 April – Seramai 11 orang warga asing termasuk lima perempuan telah ditahan kerana gagal menunjukkan pas imigresen yang masih sah dan dipercayai menyalahgunakan pas imigresen yang diberikan dengan bekerja di Pasar Tani Setenaga, Sengkurong.

Kesemua mereka ditahan oleh para pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) dalam Operasi KESAN JIPK 25/2016, yang menyasarkan pasar tani berkenaan, kira-kira jam 9 pagi tadi.

Mereka telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang JIPK bagi tapisan dan siasatan lanjut, manakala para majikan asal dan tuan punya bangku jualan juga akan dipanggil bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, operasi seumpamanya, Ops KESAN JIPK 24/2016 juga telah dijalankan dengan menyasarkan tiga lokasi iaitu sebuah premis perniagaan dan sebuah bilik sewa berasingan di Mukim Berakas dan bangunan yang masih dalam pembinaan di Mukim Kilanas.

Ops KESAN JIPK 24,2016 ketika di tapak pembinaan pekerja buruh binaan.
Ops KESAN JIPK 24,2016 ketika di tapak pembinaan pekerja buruh binaan.

Dalam operasi dari jam 6 pagi hingga 10:30 pagi itu, pemeriksaan ke atas sebuah bilik sewa telah mendapati seorang lelaki warga asing yang dipercayai lari dari majikan dan telah dilaporkan ke bahagian berkenaan pada 22 Jun 2015 serta pas imigresennya mansuh sejak 11 Mac 2016.

Manakala itu, semasa pemeriksaan mengejut di sebuah tapak projek pembinaan bangunan, empat orang pekerja asing gagal menunjukkan sebarang dokumen dan telah dibawa ke bahagian berkenaan bagi tapisan lanjut.

Siasatan lanjut mendapati, seorang lelaki pekerja asing berkenaan adalah pekerja lari dari majikan dan telah pun dilaporkan ke bahagian itu serta pas Imigresen telah pun mansuh sejak 10 Januari 2015 .

Sehubungan itu, bagi menyokong usaha penguatkuasaan undang-undang, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai pesalah imigresen dialu-alukan untuk menghubungi Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888.

ARTIKEL YANG SAMA