Tiga kosmetik dicemari bahan terlarang

Tiga kosmetik dicemari bahan terlarang

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 April – Tiga lagi produk kosmetik didapati tercemar dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan berikutan ujian makmal yang dilaksanakan oleh Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan.

Produk-produk berkenaan ialah Lyanaz Beauty Care Babies Blink Gold-White Cream (dikilangkan/diedarkan oleh Lyanaz Beauty Care Sdn Bhd) dan Nour Ain, 4-1 Exclusive Set-Night Cream (Elsuhaz (M) Sdn Bhd) yang mana kedua-dua produk ini dicemari dengan Merkuri, manakala itu, SWL Toner Lotion B (SWL, Kuala Lumpur) pula didapati dicemari dengan Hydroquinone dan Tretinoin.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya berkata, produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Menurut kenyataan itu lagi, Merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Antara produk kosmetik yang didapati tercemar dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.
Antara produk kosmetik yang didapati tercemar dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

Penggunaannya dalam produk kosmetik dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan dan tahap Merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna; yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Manakala itu, Hydroquinone dan Tretinoin pula adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan dilarang sebagai bahan dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hipersensitif, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Sementara itu, penggunaan Tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Kementerian Kesihatan menekankan bahawa pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut.

Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pemakaiannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus pegawai penguatkuasaan farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

ARTIKEL YANG SAMA