Tiga kru ISS selamat kembali ke bumi

Tiga kru ISS selamat kembali ke bumi

WASHINGTON, 7 Sept – Selepas menyaksikan lebih 2,750 kemunculan matahari dari angkasa, tiga kru Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) kembali ke Bumi hari ini.

Angkasawan pemegang rekod dari Amerika Syarikat dan dua angkasawan Rusia merasakan pancaran matahari secara terus ke atas mereka pada waktu pagi selepas enam bulan berada di orbit.

Angkasawan Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik (NASA), Jeff Williams, kembali sebagai pemegang rekod dengan 534 hari berada di angkasa lepas dalam empat misi. Williams, Alexey Ovchinin dan Oleg Skripochka mencatatkan 117 juta kilometer di angkasa lepas, mengelilingi orbit 2,752 kali sebelum mendarat di lokasi di selatan Kazakhstan pada jam 7:13 pagi waktu tempatan (1:13 pagi GMT).

Duduk di atas kerusi yang ditempatkan di lokasi, ketiga-tiganya tersenyum, memberikan isyarat bagus, berbual di telefon bimbit. Mereka dibawa keluar dari kapsul Soyuz Rusia, yang mendarat pada sisinya.

 Gambar yang diberikan oleh NASA menunjukkan tiga orang angkasawan NASA, Jeff Williams (kiri), Alexey Ovchinin (tengah) dan Oleg Skripocha selamat kembali ke bumi selepas mendarat di kawasan pedalaman berhampiran Bandar Zhezkazgan, Kazakhstan, kelmarin. - AP
Gambar yang diberikan oleh NASA menunjukkan tiga orang angkasawan NASA, Jeff Williams (kiri), Alexey Ovchinin (tengah) dan Oleg Skripocha selamat kembali ke bumi selepas mendarat di kawasan pedalaman berhampiran Bandar Zhezkazgan, Kazakhstan, kelmarin. – AP

Williams memakai topi besbol hitam ketika duduk di luar dan berbual menerusi telefon bimbit manakala Ovchinin memegang anak patung yang diberikan anak perempuannya sebagai maskot yang dibawa ke angkasa lepas bersamanya.

Mereka kemudian dibawa ke khemah perubatan untuk ujian rutin bagi memantau bagaimana reaksi graviti, termasuk memeriksa untuk melihat mereka berdiri.

Ketiga-tiganya berlepas dari ISS hampir tiga jam setengah sebelum mendarat dengan suhu baik sekitar 19 darjah Celsius, kira-kira 145 kilometer ke tenggara Zhezkazgan di Kazakhstan. – AP