Tiga lagi produk kosmetik tercemar

Tiga lagi produk kosmetik tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mac – Tiga lagi produk kosmetik daripada pengilang yang sama iaitu Secret of Beauty Skincare-Night Cream, Secret of Beauty Skincare-Moisturiser dan Secret of Beauty Skincare-Cleanser didapati tercemar dengan bahan terlarang yang boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat dan membahayakan kesihatan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Melalui ujian yang dijalankan oleh Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Jabatan Perkhidmatan Farmasi telah mendapati bahawa Secret of Beauty Skincare-Night Cream dicemari dengan Hydroquinone dan Tretinoin, sementara Secret of Beauty Skincare-Moisturiser dan Secret of Beauty Skincare-Cleanser kedua-duanya dicemari dengan merkuri yang ketiga-tiga diedarkan oleh Eksklusif untuk: SOB Global Resources.

Hydroquinone dan Tretinoin adalah bahan yang digunakan dalam ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi bagi merawat penyakit kulit dan ia dilarang sebagai bahan di dalam produk kosmetik penjagaan kulit di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik).

Penggunaan Hydroquinone tanpa pengawasan boleh menyebabkan perubahan warna kulit, hiper sensitiviti, bahagian kulit yang disapu menjadi biru-hitam atau gelap serta boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Produk-produk kosmetik yang tercemar.
Produk-produk kosmetik yang tercemar.

Manakala, penggunaan Tretinoin yang tidak betul boleh menyebabkan kulit yang disapu menjadi kemerahan, mengelupas dan parut pada kulit.

Merkuri pula adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan dari pengguna; yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Kementerian Kesihatan, dalam kenyataannya berkata bahawa, pihak mereka tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Sehubungan itu, orang ramai yang telah menggunakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan pemakaiannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) diingatkan bahawa ia menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000 penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian telefon 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A.

ARTIKEL YANG SAMA